Permohonan parti tempatan sertai GRS masih diteliti, tidak pernah ditolak - Hajiji
Abdul Hafiz Mustadi
Julai 26, 2022 16:45 MYT
Julai 26, 2022 16:45 MYT
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih meneliti permohonan parti-parti tempatan lain yang sebelum ini memohon untuk menyertai gabungan itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara tersebut (permohonan) akan diputuskan pada mesyuarat yang akan diadakan pada Oktober ini.
"Kita akan membincangkan permohonan itu di dalam mesyuarat akan datang. Kemungkinan mesyuarat akan datang kita adakan pada Oktober ini. Jadi, di sana nanti baru kita akan putuskan.
"Kita tiada buat keputusan tidak menerima. Ini mesti diperbetulkan. Dalam mesyuarat lalu, kita tidak membincangkan perkara itu tetapi kita akan membincangkan permohonan itu di dalam mesyuarat akan datang," katanya yang ditemui selepas menyampaikan Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah kepada 40 pelajar terpilih di Menara Tun Mustapha.
Perkara tersebut dinyatakan beliau bagi menolak dakwaan bahawa permohonan parti lain ke dalam gabungan itu sebelum ini tidak diterima.
Selain itu, menurut Hajiji, beliau sentiasa terbuka kepada mana-mana parti tempatan di negeri itu yang menyokong aspirasi perjuangan GRS.
"GRS adalah terbuka kepada parti-parti yang menerima perjuangan GRS terutama sekali parti-parti tempatan. Kita cuba menyatukan mereka dalam satu gabungan iatu Gabungan Rakyat Sabah," katanya.
Mengulas mengenai persiapan GRS menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Hajiji berkata gabungan itu bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa selain telah mengarahkan bilik gerakan setiap parlimen di negeri itu diaktifkan pada mesyuarat yang lepas.
"Kita telah pun mengarahkan bilik gerakan kita supaya aktif dan menubuhkan jentera Pilihan Raya masing-masing di setiap parlimen dan kita juga akan menjelajah ke seluruh Sabah untuk menemui rakyat," katanya.