Permohonan masuk PKR ditangguh, pastikan tiada 'trojan horse' - Fahmi
Pia Ernadya
Mac 14, 2024 14:34 MYT
Mac 14, 2024 14:34 MYT
CYBERJAYA: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa beliau mengambil cakna tentang ada pihak yang memohon untuk menyertai parti tersebut namun setelah diteliti, permohonan itu terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang berkata bahawa sesiapa yang memohon menyertai PKR perlu disemak dan ditapis terlebih dahulu kerana PKR bukanlah sebuah parti 'tong sampah'.
"Sebelum ini mana-mana pihak yang ingin masuk memang kita ada mekanisme-mekanisme tertentu termasuk Majlis Pimpinan Pusat yang boleh membincangkan.
"Kita semestinya memang sebuah parti terbuka tapi kita ada mekanisme untuk pastikan tiada "trojan horse' ataupun pihak yang mendatangkan kemudaratan dan ini akan kita elak.
"Cuma untuk saudara Pak Hassan, mungkin boleh bangkitkan dalam majlis pimpinan yang akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan E-Farmasi Penyelesaian Digital Pusat Penjagaan Kesihatan Generasi Baharu oleh Unifi Business di TM Digital Academy, Universiti Multimedia,Cyberjaya pada Khamis.
Pada Rabu yang lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberikan gambaran bahawa lebih ramai bekas pemimpin berstatus profil tinggi daripada Perikatan Nasional (PN) akan meninggalkan parti masing-masing untuk menyertai PKR.
Beliau berkata yang pihaknya ada menerima permohonan dadripada pemimpin-pemimpin pembangkang untuk menyertai PKR.
Sebelum itu bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman turut medakwa bahawa lebih ramai pemimpin dan ahli perintis parti itu akan menyertai PKR.
Selain Faiz, penyertaan terbaharu pemimpin Bersatu ke dalam PKR ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah.