Permohonan enam parti sertai BN diperhalusi, Puteri BN ditubuh - Zambry

Bernama
Ogos 15, 2022 07:00 MYT
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Permohonan enam buah parti untuk menjadi komponen Barisan Nasional (BN) sedang diperhalusi oleh pihak urusetia gabungan itu.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata, perkara itu adalah agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini, malam tadi.
"Dewan Tertinggi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada parti-parti tersebut atas minat dan kesediaan mereka untuk bersama-sama dengan BN," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia, di sini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Pengerusi, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Tan Sri S. Vigneswaran dan Datuk Arthur Joseph Kurup.
Turut hadir wakil MIC, Datuk Seri M. Saravanan, wakil UMNO, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta wakil MCA ,Senator Datuk Dr Mah Hang Soon.
Sementara itu, Zambry berkata Dewan Tertinggi BN juga bersetuju mewujudkan Puteri BN bagi menyelaras pergerakan wanita muda di semua parti komponen, dengan Ketua Puteri UMNO ,Datuk Zahida Zarik Khan dilantik sebagai Ketua Puteri BN.
Selain itu, beliau berkata Dewan Tertinggi turut memutuskan pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Bendahari Agung BN disambung bagi tempoh dua tahun lagi.
Hishammuddin, yang juga Ahli Parlimen Sembrong, dilantik sebagai Bendahari Agung BN pada 23 Okt 2020 menggantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #Puteri BN #Zambry Abdul Kadir #Dewan Tertinggi BN
;