'Permohonan bekas UMNO masuk Bersatu diteliti, pastikan bukan penyokong kuat Najib'

Bernama
Disember 19, 2018 09:31 MYT
DR MAHATHIR: Kami tidak mahu memberi gambaran bahawa UMNO mengambil alih Bersatu atau parti lain dalam PH. - Gambar fail
Tindakan ingin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukanlah sesuatu yang mudah buat bekas anggota UMNO terutamanya Ahli Parlimen dan pemimpinnya, kerana permohonan mereka akan diteliti dan tingkah laku mereka diperhatikan untuk memastikan sama ada mereka layak menyertai parti itu.
Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad berkata parti itu hanya mengalu-alukan mereka yang bebas daripada sebarang salah laku atau mereka yang bukan penyokong kuat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Kami hanya menerima pemimpin yang tidak terlibat dan menunjukkan sokongan yang kuat kepada Najib. Ada antara mereka yang mengutuk Pakatan Harapan (PH) dan memanggil saya gelaran yang tidak elok, dan semua itu.
"Mereka ini kami tidak terima. Bukan hanya terus masuk Bersatu. Mereka akan diteliti untuk melihat sama ada mereka layak atau tidak," katanya dalam temu bual dengan organisasi media terpilih di pejabatnya di sini.
UMNO mengalami krisis apabila beberapa pemimpin termasuk wakil rakyatnya, mengumumkan keluar parti untuk menjadi anggota bebas, manakala ada antara mereka yang bakal menyertai parti komponen PH.
Dr Mahathir berkata Bersatu telah mengenakan syarat tertentu untuk Anggota Parlimen dan pemimpin UMNO sebelum mereka boleh menyertai Bersatu.
"Ada antara mereka telah bertemu saya dan menyatakan janji mereka ingin menyertai Bersatu tetapi mereka tidak akan cuba mendapatkan apa-apa kedudukan dalam parti.
"Mereka tidak akan memegang apa-apa jawatan atau menjadi calon untuk pilihan raya akan datang. Kami memberitahu mereka, untuk menyertai Bersatu, ada syarat-syaratnya (yang harus mereka penuhi).
"Yang pertama, anda mesti meninggalkan UMNO dan menjadi anggota bebas untuk seketika, dan semasa tempoh itu, anda mesti menunjukkan bahawa anda menyokong kerajaan PH.
"Kemudian, anda boleh memohon, atau anda boleh memohon lebih awal, tetapi permohonan itu akan dipertimbangkan selepas kami melihat tingkah laku anda," katanya.
BACA: Tanggapan Bersatu akan jadi UMNO 2.0 satu penghinaan - Mohd Radzi
BACA: Kira-kira 40 anggota Parlimen dari UMNO mungkin sertai Bersatu - A. Kadir Jasin
Perdana Menteri berkata pada pilihan raya umum yang lalu, banyak orang Melayu menyokong UMNO kerana parti itu masih popular di kaca mata kebanyakan orang Melayu.
"Orang Melayu ini mesti dibawa keluar kerana apabila mereka menyokong Bersatu, Bersatu akan kuat dan PH juga menjadi kuat.
"Jadi, ini kedudukan kami. Mereka (Anggota Parlimen dan pemimpin UMNO) boleh masuk sebagai anggota, mereka mempunyai pengikut.
"(Tetapi) Kami tidak mengambil pemimpin, seperti dua, tiga nama yang telah disebutkan.
"Pemimpin berkenaan, mereka tidak boleh masuk (Bersatu). Ada kes-kes terhadap mereka, mereka perlu menghadapi mahkamah. Kami tidak akan menerima mereka," tambahnya.
BACA: Tiada agenda terima anggota Parlimen UMNO sertai bersatu - Mukhriz
BACA: Bukan mudah untuk ahli parlimen UMNO sertai Bersatu - Tun Dr Mahathir
Ditanya sama ada anggota PH yang lain menyuarakan kebimbangan mereka terhadap perkara itu, Dr Mahathir berkata: "Ya, mereka bimbang".
"(Tetapi) kami juga mengambil berat (perkara itu). Kami tidak mahu memberi gambaran bahawa UMNO mengambil alih Bersatu atau parti lain dalam PH. Kami sangat serius dalam meneliti orang-orang ini.
"Mereka ingin masuk. Saya rasa di kampung-kampung mereka masih berpengaruh. Jika kami menolak mereka, mungkin kami menolak pengundi.
"Mereka boleh membawa masuk beberapa pengundi. Ini akan menguatkan Bersatu dan PH juga," katanya.
Mengenai persepsi bahawa menerima penyertaan bekas Anggota Parlimen UMNO adalah sebahagian daripada strategi PH untuk mendapatkan majoriti dua pertiga di Parlimen, perdana menteri berkata secara peribadi, beliau tidak suka kerajaan dengan majoriti dua pertiga.
"Saya mahukan pembangkang yang kuat. Tetapi apa yang anda lihat pembangkang kini benar-benar hancur. MIC tidak berfungsi, MCA tidak berfungsi.
"Di Sabah mereka tidak berfungsi. Keseluruhan UMNO telah berpecah kepada banyak bahagian. Ada yang ingin kekal dalam UMNO, ada yang ingin keluar. Ada juga yang tidak ingin berpolitik lagi.
"Tiada pembangkang yang boleh dipercayai pada masa ini. Bahkan, semasa saya dalam kerajaan sebelum ini, ketika saya mengetuai BN (Barisan Nasional), saya pernah kata kita memerlukan pembangkang kerana tanpa pembangkang ibarat tiada cermin untuk melihat diri sendiri. Anda rasa anda cantik, tetapi sebenarnya anda sangat hodoh," katanya.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #Bersatu #kerajaan #Mahathir Mohamad #MCA #MIC #Najib Razak #Pakatan Harapan #parti #pembangkang #PPBM #salah laku #UMNO
;