Permit kempen rumah ke rumah: Kerajaan PH 'tidak siuman', kata Tok Mat

Sinar Harian
November 14, 2019 06:11 MYT
Barisan kepimpinan gabungan Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah Muafakat Nasional dan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor di Kampung Sawah, malam tadi. Foto Sinar Harian
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) 'tidak siuman' gara-gara tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan arahan mendapatkan permit berkempen dari pintu ke pintu sepanjang pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Beliau berkata, keputusan suruhanjaya itu di bawah pentadbiran kerajaan PH tidak pernah berlaku di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Menurutnya, tindakan itu seolah-olah cuba melemahkan pembangkang pada saat akhir sebelum menjelangnya hari mengundi, 16 November ini.
"Tak tahulah undang-undang apa yang mereka guna untuk PRK ini.
"Hari ini peguam negara pun dah nyatakan ia sebagai satu kesilapan. Tetapi kalau kerajaan hendak permit juga memanglah menunjukkan bahawa kerajaan ini tak siuman," katanya ketika berceramah pada Himpunan Penyatuan Ummah dan Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Johor sempena PRK, Tanjung Piai di Pekan Nanas di sini malam tadi.
BACA: Usul batal peraturan wajib permit untuk tinjauan mesra ditolak
Hadir sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Penasihat Barisan Nssional (BN), Datuk Seri Najib Razak; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Datuk Seri Vigneswaran.
Mengulas perkara sama, Mohamad berkata, kepimpinan kerajaan PH pada hari ini tidak ada hala tuju dan buktinya ditunjukkan menerusi arahan 'tidak masuk akal' berkenaan.
VIDEO: BN harap polis pertimbang semula arahan permit kempen rumah ke rumah
Terdahulu, polis menetapkan semua parti dan calon yang bertanding dalam PRK tersebut perlu mendapatkan permit bagi kempen yang dibuat dari rumah ke rumah.
Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan berkata, polis turut menetapkan program tinjauan mesra yang turut dianggap sebagai kempen bergerak dan perlu mempunyai tempoh masa serta lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.
BACA: Keperluan permit untuk berkempen dari rumah ke rumah perlukan penjelasan - Peguam Negara
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara pada Khamis mengeluarkan kenyataan yang bertentangan terhadap arahan SPR itu.
Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menjelaskan, kempen seperti itu oleh calon dan jentera parti tidak memerlukan permohonan permit daripada polis berdasarkan Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
VIDEO: Arahan permit kempen rumah ke rumah mengecewakan
#Barisan Nasional #cuba melemahkan pembangkang #kempen #Mohamad Hasan #Najib Razak #Pakatan Harapan #Parlimen Tanjung Piai #pembangkang #permit #pilihan raya kecil #pintu ke pintu #PRK Tanjung Piai #rumah ke rumah #Tanjung Piai Memilih #tidak siuman
;