Permintaan jawatan Presiden UMNO, timbalan tidak dipertanding hanya bersifat 'bodek' - Ketua Puteri UMNO Ledang
Firdaus Azil
Disember 26, 2022 14:41 MYT
Disember 26, 2022 14:41 MYT
KUALA LUMPUR: Kenyataan beberapa pemimpin UMNO agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding dalam pemilihan parti akan datang, hanyalah bersifat membodek semata-mata.
Ketua Puteri UMNO Ledang, Nadhirah Afiqah Abdul Rahim dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia bukan pendirian lebih tiga juta ahli UMNO di negara ini.
Beliau berkata, majoriti ahli parti lebih cenderung untuk melihat demokrasi di dalam UMNO dihidup dan disuburkan semula, selepas penangguhan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan sebelum ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Jika sebelum ini alasan penangguhan pemilihan adalah disebabkan tidak mahu berlaku perpecahan menjelang PRU15, justeru usai PRU15 seharusnya proses demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO ini dihormati dan dipatuhi.
“Cadangan agar jawatan utama terutamanya Presiden tidak dipertandingkan juga dilihat memperlekeh kebolehan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam mempertahan jawatan yang disandangnya kini,” katanya lagi.
Sebelum ini beberapa pemimpin UMNO, termasuk Ketua-ketua Bahagian, mendesak agar dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan, demi memastikan kesatuan dalam parti.
Mengulas lanjut, Nadhirah berkata, sebagai pemimpin yang bijaksana, Presiden UMNO telah 'berjaya memastikan UMNO terus berada dalam Kerajaan' walaupun hanya memenangi 26 kerusi dalam PRU15 yang lalu.
Tambahnya, sebagai seorang pemimpin yang berdarah pahlawan, Ahmad Zahid juga telah 'berjaya mendapatkan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri' yang pernah disandang beliau sebelum ini.
“Dengan rekod pencapaian ini, adalah mustahil beliau akan berasa gentar untuk menghadapi apa-apa cabaran dalam pemilihan parti malah pastinya akan mempertahan dan melindungi asas demokrasi dalam UMNO,” katanya lagi.