Perlu tindakan rasional pastikan Parlimen terus berfungsi - Refsa

Astro Awani
Ogos 3, 2021 17:01 MYT
Kata Fakhrurrazi, agenda persidangan secara hibrid memastikan Parlimen berfungsi walaupun pada waktu pandemik. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu bekerjasama untuk bertindak rasional dan memastikan Parlimen terus berfungsi dalam keadaan yang lebih selamat.
Koordinator Penyelidikan Research for Social Advancement (Refsa), Fakhrurrazi Rashid berkata, setiap wakil rakyat perlu menjalankan tugas untuk rakyat yang diwakili di kawasan sendiri.
"Apa yang kita lihat sebenarnya adalah satu kelemahan di mana pihak kerajaan dan Parlimen kurang bersedia untuk mengadakan sidang ini kerana tidak sepatutnya timbul isu tentang kes keberjangkitan atau beberapa SOP kesihatan yang menghalang Ahli Parlimen dan Dewan Negara untuk bersidang.
"Kerana kita perlu ingat, walaupun berada di bawah situasi COVID-19, kita perlukan sebuah kepimpinan yang ada semak dan imbang iaitu kerjasama di antara jemaah menteri dan Parlimen untuk memastikan setiap dasar dan perkara yang dilakukan kerajaan benar-benar menepati hasrat dan aspirasi rakyat yang kini tertekan kerana tempoh lockdown, kesihatan mental juga terganggu dan mata pencarian juga terjejas.
"Jadi kita ada banyak perkara yang tidak boleh dilakukan oleh kerajaan bersendirian dan memerlukan kerjasama oleh Ahli Parlimen itu sendiri kerana Parlimen adalah institusi untuk membahaskan isu itu sendiri," katanya semasa sidang video pada Selasa.
BACA: Mesyuarat Khas Parlimen: Tiada sidang hibrid, semua Ahli Parlimen boleh hadir - Azhar
BACA: 16 Senator mahu Dewan Negara bersidang, perbetulkan keadaan di Dewan Rakyat
Sebelum ini, Ahli-ahli Dewan Negara Pakatan Harapan (PH) menggesa Parlimen bersidang bagi membahaskan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat berkaitan seperti mana yang dititah Yang di-Pertuan Agong.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka menyatakan setuju dengan titah baginda bahawa pembatalan proklamasi dan ordinan tersebut oleh pihak kerajaan - secara tidak telus, tanpa melalui kedua-dua Dewan dan tidak mendapat perkenan Agong - adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Dalam pada itu kata Fakhrurrazi, agenda persidangan secara hibrid juga boleh memastikan Parlimen berfungsi walaupun pada waktu pandemik.
Ujarnya, isu itu bukan perkara baharu tetapi telah dikemukakan sejak pandemik berlaku pada tahun lepas.
Jelasnya, ia sepatutnya menjadi alternatif sekali gus membenarkan Ahli Parlimen berfungsi dengan baik dan lancar serta menyelamatkan mereka dari isu jangkitan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini berkata, cadangan untuk melaksanakan sidang khas Dewan Rakyat secara hibrid ditangguhkan dan soal pelaksanaannya juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat khas Parlimen yang berlangsung sebelum ini.
#COVID-19 #Dewan Negara #Parlimen #SOP #Pakatan Harapan
;