Perlu ke lantik Menteri untuk setiap kementerian?
Muzaffar Syah Mallow
Mac 5, 2020
12:55 MYT
Negara ini tidak ditadbir oleh seorang ahli politik dari sebuah parti politik sahaja kerana negara ini merupakan sebuah negara berbilang kaum, agama serta memiliki pelbagai fahaman politik. - Gambar fail
Terlebih dahulu ucapan tahniah diberikan kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelapan.
Sudah pasti tumpuan utama kini diberi oleh YAB Perdana Menteri serta semua pihak dalam negara kita untuk proses pelantikkan jemaah menteri bagi mengisi kabinet persekutuan untuk mengemudi setiap kementerian yang ada dalam negara kita.
Kedudukan jemaah menteri ini sudah pun termaktub dibawah Perlembagaan Persekutuan. Perkara 43 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa “Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam penjalanan fungsinya”.
Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan bahawa “Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu: (a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan (b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri – Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen.
Proses lantikan Timbalan Menteri pula terletak dibawah Perkara 43A Perlembagaan Persekutuan.
Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, seseorang tidak boleh dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri tanpa terlebih dahulu dilantik menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Namun setiap daripada mereka yang telah dipilih untuk menganggotai jemaah menteri perlu mengangkat sumpah jawatan dihadapan KDYMM Yang di-Pertuan Agong sebelum menjalankan tugas seperti yang telah diperuntukkan dibawah Perkara 43 (6) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa “Sebelum seseorang Menteri menjalankan fungsi jawatannya dia hendaklah mengangkat dan menandatangani di hadapan Yang di-Pertuan Agong sumpah jawatan dan sumpah taat setia dan juga sumpah simpan rahsia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam”.
Semua kerajaan dalam dunia memiliki jemaah menteri masing – masing. Isu pelantikkan jemaah menteri dalam negara kita mendapat perhatian apabila YAB Perdana Menteri yang baru dilantik masih belum lagi membentuk dan melantik mana – mana pihak bagi menganggotai jemaah menterinya.
Secara amalannya, terpulanglah kepada budi bicara YAB Perdana Menteri untuk melantik mana – mana individu yang difikirkannya sesuai sebagai jemaah menterinya. Banyak faktor yang perlu difikirkan sebelum YAB Perdana Menteri melantik mana – mana individu sebagai menteri.
Antara faktor yang sering diberi keutamaan adalah faktor latar belakang individu yang ingin dilantik sama ada mereka benar – benar sesuai untuk dilantik sebagai menteri ataupun tidak serta faktor politik yang selalunya mengkehendaki YAB Perdana Menteri melantik individu – individu dari kalangan gabungan parti politik yang sudah memberi sokongan kepada YAB Perdana Menteri untuk melantik individu dari kalangan gabungan parti politik yang sudah memberi sokongan kepada YAB Perdana Menteri untuk menjadi ketua negara.
Walau apa pun kriteria calon jemaah menteri yang ingin dilantik, ramai pihak dalam negara kita pada masa kini yang mempersoalkan kewajaran untuk melantik jemaah menteri itu sendiri.
Akibat daripada kemelut politik yang melanda negara kita pada minggu yang lalu, ramai pihak yang berkata menteri tidak perlu dilantik kerana setiap kementerian boleh diterajui oleh ketua setiausaha serta para pegawai sedia ada didalam kementerian yang terlibat.
Ada juga yang berpandangan, dengan tiadanya jemaah menteri ini, kementerian – kementerian masih dapat jalankan fungsi mereka dengan baik malah ada yang berpandangan dengan tiadanya menteri ini kementerian – kementerian dilihat dapat menjalankan peranan mereka dengan lebih berkesan lagi kerana tidak perlu melayan kerenah ahli politik yang berlainan fahaman bagi mengetuai kementerian terbabit. Dengan tiadanya menteri ini, kos perbelanjaan kerajaan juga dapat dijimatkan kerana tidak perlu lagi membayar gaji serta semua elaun menteri dan timbalan mereka.
Ramai pihak dalam negara kita kelihatan lebih selesa dengan tiadanya jemaah menteri pada ketika ini. Ada juga yang mengatakan lebih baik negara ini ditadbir oleh Perdana Menteri dan pegawai kerajaan sedia ada sahaja.
Tidak perlu ada menteri. Hakikatnya sama ada kita suka ataupun tidak, kehadiran jemaah menteri ini dilihat penting untuk untuk negara kita serta untuk rakyat. Untuk permulaan, semua negara dalam dunia ini ada jemaah menteri mereka masing – masing yang telah dilantik bagi membantu ketua kerajaan yang telah dipilih oleh mereka. Kehadiran jemaah menteri ini penting bagi mengurangkan beban tugas dan tanggungjawab besar yang harus dipikul oleh YAB Perdana Menteri dalam mentadbir negara ini. Amat mustahil untuk semua kerja dipikul oleh YAB Perdana Menteri sendiri tanpa dibantu oleh jemaah menteri.
Kita tidak boleh hanya mengharapkan pegawai kerajaan sedia ada untuk menjalankan tugas menteri kerana mereka juga ada tugas hakiki mereka yang lain yang perlu dijalankan. Setiap kementerian juga perlu memiliki seorang ketua ataupun pemimpin supaya mereka boleh memikul segala tanggungjawab dan amanah dalam kementerian serta melaporkan sebarang perkembagan semasa kepada YAB Perdana Menteri.
Setiap menteri yang dilantik ke sesebuah kementerian juga selalunya dipilih berdasarkan kepakaran dan pengalaman yang mereka miliki.
Kepakaran dan pengalaman yang dimiliki ini penting supaya pentadbiran negara kita dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan berkesan. Jemaah menteri juga perlu dilantik supaya kestabilan politik dalam negara kita kekal terjamin.
Negara ini tidak ditadbir oleh seorang ahli politik dari sebuah parti politik sahaja kerana negara ini merupakan sebuah negara berbilang kaum, agama serta memiliki pelbagai fahaman politik. Pelantikan individu dari kalangan pelbagai parti politik sebagai menteri juga dapat mengurangkan kemelut politik serta memberi ruang dan peluang untuk setiap lapisan masyarakat kita diwakili dalam anggota pentadbiran tertinggi dalam negara kita.
Bagi memastikan negara kita dapat ditadbir dengan baik serta tidak mengudang banyak kritikkan daripada orang ramai terhadap jemaah menteri, menteri yang ingin dilantik kelak perlu lah terdiri daripada kalangan mereka yang sesuai untuk memegang jawatan menteri. Terpulang lah kepada YAB Perdana Menteri selaku ketua negara untuk membuat perincian mengenai faktor kesesuaian ini. Keutamaan lantikan jemaah menteri patut diberikan kepada individu – individu yang boleh buat kerja dan bukannya individu – individu yang hanya sibukkan masa depan kerjaya politik mereka serta mereka yang hanya sibuk untuk mencari populariti murahan.
* Dr Muzaffar Syah Mallow merupakan pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.