Perlu bertolak ansur jika mahu Pakatan Rakyat kekal - Nasrudin
Irwan Muhammad Zain
Disember 17, 2014 15:53 MYT
Disember 17, 2014 15:53 MYT
Semua parti dalam Pakatan Rakyat perlu bertoak ansur jika mahu gabungan pembangkang itu kekal, kata Anggota Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Nasrudin Hassan.
Dalam satu temubual bersama portal Malaysia Transform, Nasrudin berkata, dari pengamatan beliau, Pakatan Rakyat kini makin sukar kerana tidak dapat duduk bersama untuk menyelesaikan masalah.
"Saya bukan Tok Nujum Negara untuk meramal masa depan. Namun dari sudut politik, jika semua pihak mahu Pakatan Rakyat ini kekal, maka bertolak ansurlah dan jangan menyerang parti rakan.
"Mutaakhir ini, berasaskan pengamatan saya , kedudukan Pakatan Rakyat ini makin sukar. Belum menemui lantai yang landai untuk sama-sama bersila menyelesaikan masaalah yang dihadapi," Nasrudin dipetik sebagai berkata oleh malaysiatransform.net.
Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, syarat yang dikenakan DAP supaya Pakatan Rakyat mestilah tanpa pelaksanaan Islam dan mahu PAS mengenepikan hukum hudud akan menyebabkan tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang terbatal.
Katanya, PAS memperjuangkan pelaksanaan Islam dan syariatnya, jika parti itu mengabaikan dasarnya, hukumnya adalah haram.
Jelas beliau, tahaluf siyasi bukan bermaksud semua parti mempunyai satu ideologi sebaliknya kerjasama itu adalah berkait dengan tindakan politik yang dipersetujui bersama tanpa mengganggu hak dan dasar perjuangan masing-masing.
Kerjasama dalam Pakatan Rakyat, kata Nasrudin, hanyalah dalam untuk kepentingan bersama membabitkan aspek politik untuk menolak kezaliman, penindasan, rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan pelbagai lagi tanpa melepasi dasar perjuangan parti.
“Jika DAP buat syarat pakatan pembangkang mestilah tanpa pelaksanaan Islam dan syariatnya, dan menegaskan bahawa Pas tidak boleh melaksanakan syariat Islam termasuk hudud, maka pada saya, syarat dan penegasan yang DAP buat itu membatalkan syarat tahaluf, tiada ertinya lagi tahaluf siyasi ini.
“Jika dasar parti terhalang untuk ditunai dan dilaksana dengan kerjasama ini, maka tahaluf ini batal. Malah tidak keterlaluan kalau saya nyatakan hukumnya adalah haram,” katanya lagi.
Nasruddin berkata, Pas tidak akan sama sekali mengabaikan dasar perjuangan demi pakatan pembangkang, justeru DAP tidak sepatutnya menghalang pelaksanaan hukum hudud jika tidak mahu gabungan tersebut berpecah.
“Pas akan tetap berjuang untuk melaksanakan Islam dan syariatnya. Hudud adalah sebahagian daripadanya. Ia adalah kewajipan agama yang ditetapkan syarak, tiada siapa yang boleh halang, kalau mereka halang bererti mereka menjadi penghalang kepada perjuangan Islam.
“Kepada mereka yang menghalang kerana dendam, benci, angkuh dan semangat menentang Islam, maka akan didepani dengan sebijaknya dan sesuai dengan penentangan yang dihadapi. Hujah dengan hujah, saraf dengan saraf, senjata dengan senjata,”
Nasrudin yang kini berada di Mekah mengulas perkembangan terkini dalam pakatan pembangkang berikutan beberapa siri serangan terbuka oleh pemimpin DAP termasuk daripada Lim Guan Eng sendiri, khususnya berhubung isu hudud dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2014, Ahad lepas.