Perlu ada MoU sebagai pengikat, panduan hala tuju kerajaan - UNDI18
Israr Khalid
Disember 8, 2022 05:15 MYT
Disember 8, 2022 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Perlunya ada satu dokumen yang mengikat persefahaman semua komponen kerajaan supaya langkahnya senada dalam mencapai matlamat yang ditetapkan.
Kata pengasas bersama UNDI18 Tharma Pillai, ia juga menjadi panduan untuk memastikan wujudnya komunikasi yang baik antara mereka serta penyampaian maklumat yang jelas kepada rakyat tentang hala tuju kerajaan yang disepakati bersama.
Jika tidak, tidak mustahil akan berlaku salah faham yang akan membawa kepada prasangka dan akhirnya menyebabkan kerajaan menjadi tidak stabil lalu tidak dapat memberikan perkhidmatan yang diharapkan rakyat.
“Antara cabaran yang ada sekarang adalah kita sebagai rakyat tak tahu apakah naratif, agenda dan janji yang dibawakan oleh kerajaan baharu ini.
“Melalui memorandum persefahaman, perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) atau apa sahaja nama dan bentuknya asalkan ada satu perjanjian, satu dokumen kukuh mengatakan ‘ini adalah perkara yang akan kita usahakan bersama untuk dicapai dalam jangka masa lima tahun’,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Khamis.
Kata Tharma, dengan adanya dokumen dimaksudkan yang menetapkan agenda besar kerajaan, barulah tiada kepincangan dalam perhubungan perhubungan antara kementerian.
Kita tidak mahu berlaku percanggahan hala tuju kementerian yang akhirnya mewujudkan kekeliruan dan ketidakharmonian bukan sahaja dalam kerajaan tetapi juga rakyat yang memerhati.
“Apabila menteri-menteri mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan agenda kerajaan dan Perdana Menteri, nampak ‘kantoi’ dan pembangkang akan kacau, media akan mainkan (isu itu) dan rakyat akan kutuk,” katanya.