Perlis sokong Anwar tanding jawatan Presiden PKR

Bernama
Julai 15, 2018 05:33 MYT
Menurut wakil-wakil PKR Perlis, Anwar ialah tunjang agenda reformasi bagi memartabatkan semula negara untuk mencapai kedudukan terhormat.
Kesediaan Penasihat Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan presiden parti pada pemilihan parti itu tidak lama lagi mendapat sokongan padu kesemua empat wakil rakyat PKR Perlis.
Dalam kenyataan bersama pada Ahad, mereka menyambut baik keputusan Anwar itu dan berkata ia sesuai dengan persetujuan Pakatan Harapan (PH) untuk menjadikan beliau calon perdana menteri kelapan.
Wakill rakyat terbabit ialah Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad, Asrul Nizan Abd Jalil, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Gan Ay Ling (ADUN Indera Kayangan) dan Noor Azam Karap (ADUN Kuala Perlis).
"Anwar ialah tunjang agenda reformasi bagi memartabatkan semula negara untuk mencapai kedudukan terhormat. Nama beliau juga tidak pernah pudar di dalam dan luar negara dan ini membuktikan kemampuan Anwar memimpin.
"Adalah wajar seluruh anggota PKR memberi sokongan padu kepada Anwar untuk menjadi presiden parti agar parti ini berkembang maju dan menjadi parti berbilang kaum untuk rakyat Malaysia," kata mereka. -- Bernama
#Anwar Ibrahim #Pakatan Harapan #penasihat umum #Perlis #PKR
;