Perlembagaan GRS peruntuk keahlian terus individu, kesatuan antara parti - Armizan
Bernama
Disember 12, 2022 19:24 MYT
Disember 12, 2022 19:24 MYT
KOTA KINABALU: Perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai peruntukan berkaitan keahlian terus kepada individu dan kesatuan antara parti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.
Ahli Parlimen Papar itu berkata beliau sendiri merupakan antara individu yang terlibat dalam mendraf perlembagaan gabungan tersebut dan memohon semua pihak agar meneliti perkara berkenaan sebelum membuat apa-apa ulasan mengenai GRS serta wakil rakyatnya.
Armizan berkata sebagai contoh, beliau sendiri adalah ahli terus GRS dan bertanding serta menang atas tiket gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun belum membuat sebarang pengumuman atau keputusan berhubung status keahliannya dalam Bersatu.
"Kita melihat pelbagai andaian dan spekulasi apabila Datuk Seri Hajiji Noor (bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah) mengumumkan pemimpin Bersatu Sabah keluar parti tetapi masih kekal dalam GRS, dalam perlembagaan gabungan ini mempunyai keahlian terus individu dan kesatuan parti.
"Siapa pihak yang keluar Bersatu Sabah perlu diperincikan, itu keputusan kepimpinan tertinggi Bersatu Sabah yang akan disusuli pernyataan rasmi pihak yang menyatakan pendirian keluar Bersatu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Hajiji, yang juga Ketua Menteri Sabah, di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Sabtu lepas, Hajiji yang juga Pengerusi GRS dilaporkan berkata pemimpin Bersatu Sabah secara sebulat suara memutuskan untuk meninggalkan parti itu namun kekal di bawah gabungan politik tersebut.
Armizan juga berkata tindakan Hajiji dan kepimpinan Bersatu Sabah dibuat atas dasar GRS yang menyatakan pendirian menyokong Kerajaan Perpaduan namun Bersatu pusat dan Perikatan Nasional (PN) membuat keputusan untuk tidak menyertai kerajaan tersebut.
"Pada PRU15 lepas, kita tahu tiada parti atau gabungan berjaya membentuk kerajaan persekutuan secara solo.
"Di peringkat GRS, kita ambil kira keputusan PRU15 namun keputusan kita tidak sekata dengan Bersatu pusat dan PN," katanya.
-- BERNAMA