Perlekeh BR1M, Mokhzani ketandusan modal kempen - Hishammuddin
Nuradilla Noorazam
Mei 5, 2018 12:57 MYT
Mei 5, 2018 12:57 MYT
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyelar tindakan Tan Sri Mokhzani Tun Dr Mahathir yang dilihat memperlekehkan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan mengatakan tiada apa yang perlu dibanggakan mengenai bantuan tersebut.
Hishamuddin yang ditemui sewaktu lawatan ke daerah Bentong bersama Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Mokhzani seakan tidak sedar beliau memperkecilkan BR1M yang sudah diakui berkesan oleh Pakatan Harapan sendiri sehingga dimasukkan dalam manifesto mereka (PH).
”Beliau kata begitu tetapi manifesto mereka mempertahankan BR1M pula. Apa pendirian mereka sebenarnya? Mereka tiada pendirian yang jelas antara mereka. Jadi kalau betul-betul BR1M hendak diketepikan suruh Mokhzani sendiri memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Saya percaya dia banyak duit, ” katanya.
Hishammuddin yang bakal mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong, Johor Bahru, berkata, PH sudah ketandusan idea untuk berkempen sehingga memperlekehkan manifesto sendiri.
"Orang tahu BR1M ini diterima baik oleh rakyat. Untuk dia berkata BR1M ini tidak diperlukan oleh rakyat yang daif, dia tidak tahu keadaan masyarakat yang betul-betul daif.
"Sebab itu pada saya beliau tidak ada kelayakan bercakap begitu, jawatan dalam parti pun tak tahu,” jelasnya.
Hishamuddin dalam ucapannya sebelum itu turut menyatakan sokongan kepada Tiong Lai yang harus mempertahankan kerusi parlimen Bentong.
Pada PRU13 yang lalu, Liow menang kerusi tersebut yang direbut Wong Tack, DAP, dengan majoriti lebih 300 undi.
"Pada saya apa gunanya saya menang di Sembrong jika sahabat saya Tiong Lai kalah di kawasannya. Hubungan kami lebih dari sekadar rakan politik. Kami sahabat yang sudah lama berkawan. Pada waktu saya susah, Tiong Lai menolong saya dan pada waktu beliau memerlukan, saya akan membantunya,” kata Hishammuddin.
Beliau mengulas kenyataan anak bekas Perdana Menteri, yang juga antara individu Melayu terkaya di Malaysia, Tan Sri Mokhzani Mahathir, yang memperlekehkan penerima BR1M, dengan mengatakan tiada apa yang perlu dibanggakan mengenai bantuan itu pada ceramah di pentas PH di Felda Sungai Tiang, Pendang Kedah baru-baru ini.
Pada ceramah sama, Mokhzani turut mengatakan janji kerajaan untuk mewujudkan tiga juta peluang pekerjaan dianggap tidak pasti kerana apa yang dilihat dalam projek mega seperti di Kuantan dan Johor Bahru, dilaburkan untuk China.
#Bentong
#BR1M
#ceramah
#Hishammuddin Hussein
#Johor Bahru
#Liow Tiong Lai
#Malaysia Memilih
#Naib Presiden UMNO
#Pakatan Harapan
#pilihan raya
#Sembrong
#Tan Sri Mokhzani Mahathir