Perkhidmatan dua penggal: P. Pinang sedia jadi rujukan negeri lain

Astro Awani
Oktober 19, 2018 16:23 MYT
CHOW: Kita buat secara berasingan sebab ini janji manifesto, jadi kita mengambil tindakan selepas kita dipilih semula. - Gambar fail
Pulau Pinang menyambut baik keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghadkan jawatan Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar selama dua penggal.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana negeri yang mahu mengambil langkah sama menghadkan jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar, dan Pulau Pinang sendiri sedia menjadi rujukan.
Katanya, walaupun tempoh untuk meminda perlembangaan akan mengambil masa lama, namun beliau percaya perkara itu dapat dilaksanakan dengan baik.
"Kita buat secara berasingan sebab ini janji manifesto, jadi kita mengambil tindakan selepas kita dipilih semula. Lain-lain negeri boleh rujuk bagaimana kita buat pindaan pada perlembangaan.
"Kita merujuk pada Peguam Negara pada bulan Ogos dan beliau beri maklum balas dan ulasan," katanya.
Menurut Kon Yeow, Pulau Pinang sendiri sudah membuat pindaan pada perlembagaan negeri dan kini menunggu masa untuk dibentangkan pada sidang mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN), November ini.
Katanya, tempoh menghadkan jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal di negeri itu adalah janji pertama di dalam Manifesto PH di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
BACA: MB Perak sambut baik usul perkhidmatan dihadkan 2 penggal
BACA: Ini dokumen Reformasi - Ucapan Pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK11
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman pelaksanaan menghadkan perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pembentangan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) 2016-2020, pada Khamis.
Langkah itu adalah sebahagian daripada keutamaan dan pene kanan baharu dalam mereformasikan tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam.
#Chow Kon Yeow #dua penggal #Ketua Menteri #Menteri Besar #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #pulau pinang
;