Perkasa wanita: Kerajaan PH jauh lebih progresif - Haniza

Shuhada Abdul Kadir
Disember 6, 2019 13:08 MYT
Haniza berkata, usaha memperkasa wanita adalah selari aspirasi Wanita PKR mengiktiraf golongan itu sebagai pemimpin berwibawa dan berkesan. - Astro AWANI
Wanita PKR mahu kaum wanita di negara ini diberi tempat yang baik, termasuk sebagai pembuat keputusan di peringkat negeri mahu pun persekutuan.
Pada masa sama, Ketuanya Haniza Mohamed Talha berkata, kerajaan negeri dan persekutuan diharap dapat mempertimbangkan seorang wanita di setiap negeri untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.
"Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat jauh lebih progresif dengan adanya lima menteri wanita, termasuk seorang Timbalan Perdana Menteri, dan empat Timbalan Menteri wanita.
"Jumlah Ahli Parlimen wanita sudah bertambah menjadi 33 orang atau 14.86 peratus dalam Dewan Rakyat, dan 14 senator wanita atau 20 peratus dalam Dewan Negara," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Tahunan Wanita PKR 2019 di sini hari ini.
Berucap di hadapan kira-kira 500 perwakilan pada kongres yang bertema ‘Kepimpinan Wanita: Kepimpinan Untuk Semua’ bagi sayap itu, Haniza berkata Wanita PKR telah merangka empat teras utama dalam pelan pembangunan wanita.
Ia merangkumi persediaan menempuhi cabaran IR4.0, memperkasakannya dari segi ekonomi, memperkukuh kedudukan dalam masyarakat dan mewujudkan lebih ramai pemimpin wanita.
Katanya, usaha memperkasa wanita adalah selari dengan aspirasi Wanita PKR mengiktiraf golongan itu sebagai pemimpin berwibawa dan berkesan.
Menurutnya, sayap Wanita PKR mempunyai ramai ahli muda berkaliber dan sangat sesuai untuk diangkat sebagai calon wakil rakyat pada masa akan datang.
Sementara itu, pada sidang medianya, Haniza berkata, Wanita PKR mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan kepada semua parti politik yang menyertai pilihan raya supaya menamakan sekurang-kurangnya 30 peratus calon dalam kalangan wanita.
"Bagi cadangan Adun Tanpa Kawasan yang dikemukakan kepada kerajaan pada Mei lalu, ia akan membabitkan pindaan perlembagaan di peringkat negeri.
"Diharap ia dapat direalisasikan bagi membolehkan kaum wanita mendapat tempat sewajarnya di peringkat negeri," tambahnya.
#30 peratus #Adun Tanpa Kawasan #calon #Haniza Mohamed Talha #IR4 0 #Kepimpinan Wanita #kerajaan #Kongres Nasional Wanita 2019 #menteri wanita #Pakatan Harapan #pelan pembangunan wanita #pembuat keputusan #pindaan perlembagaan #senator wanita #Wanita PKR
;