Perkasa jentera PRU15, ketepikan perbezaan pendapat - Salleh Said Keruak

Astro Awani
Jun 3, 2022 22:20 MYT
Pengerusi Kelab Backbenchers Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu menjelaskan, pemimpin tertinggi BN sudah menyeru agar bersedia untuk bertempur dalam PRU15. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak menggesa agar segala perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) tentang waktu terbaik Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diketepikan segera.
Sebaliknya, beliau menasihatkan agar fokus utama diberikan kepada persediaan rapi dan memperkasakan jentera BN untuk berdepan PRU15.
Katanya, fokus utama seharusnya diberikan untuk memastikan maklumat mengenai kebaikan dan jasa BN dalam membangunkan negara diterima rakyat.
"Ternyata selepas berdekad memerintah dasar BN lebih mengutamakan kebajikan rakyat berbanding Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
"Rekod pentadbiran PH selama 22 bulan telah dikecam pelbagai pihak. Selain perancangan PN yang kurang berkesan.
"Maka, wajar untuk BN mendapatkan kemenangan majoriti agar kestabilan dan dasar ekonomi yang kukuh.
"Saya yakin, rakyat dapat menilai pentadbiran PH yang memberi kesan kepada ekonomi negara selain tidak mempunyai dasar polisi yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pengerusi Kelab Backbenchers Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu menjelaskan, pemimpin tertinggi BN sudah menyeru agar bersedia untuk bertempur dalam PRU15.
Katanya, setiap pilihan raya pastinya ada pelbagai risiko namun keyakinan BN dengan jentera yang kuat dan bersiap sedia bakal menyumbang sekurang-kurangnya 50 peratus kemenangan.
"Maka, penting untuk pemberian tugas yang sistematik, kempen berkesan, peraih undi yang bekerja keras selain setiap akar umbi memanfaatkan penggunaan media sosial.
"Jentera BN perlu kerja berpasukan, berdisiplin dan teruskan kesetiaan kepada parti. Siapkan mental dan fizikal untuk 'berperang'," katanya lagi.
Beberapa pemimpin UMNO dan BN menggesa agar PRU15 diadakan secepat mungkin dengan memberi alasan untuk mendapatkan mandat rakyat dan memastikan kestabilan negara.
Namun dalam satu wawancara dengan akhbar kewangan Nikkei sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, beliau akan menunggu “masa yang sesuai” untuk membubarkan Parlimen.
#Salleh Said Keruak #Usukan #Sabah #Barisan Nasional #BN #PRU15 #jentera #siap siaga
;