Perkasa desak Tun M, Muhyiddin jelaskan hala tuju PPBM
Astro Awani
September 9, 2016 17:42 MYT
September 9, 2016 17:42 MYT
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyatakan dengan jelas hala tuju parti itu terutamanya dalam perjuangan agenda bumiputera.
Menurut presidennya Datuk Ibrahim Ali, kesanggupan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bekerjasama dengan DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim nyata menimbulkan seribu satu tanda tanya.
"Ramai mahu tahu apakah PPBM ini agendanya betul-betul perjuangan untuk Melayu dan Islam.
"Atau pun mereka akan jadi sebahagian daripada Pakatan Harapan? Kalau sebahagian daripada Pakatan Harapan bererti bersama dengan DAP," kata Ibrahim ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Ibrahim turut menggesa PPBM supaya menyatakan pendirian sama ada mereka berperanan untuk menggantikan PAS dalam Pakatan Harapan.
Tegas beliau, perkara itu perlu dijelaskan kepada rakyat kerana sebelum ini PAS bertindak keluar daripada gabungan pembangkang kerana wujudnya krisis dengan DAP.
"Kalau PPBM bersama dengan DAP, ini menjadi tanda tanya bagi orang Melayu," ujarnya.
Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat menegaskan tiada masalah baginya untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sama seperti yang dilakukan dengan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.