Perjuangan UMNO tidak berganjak untuk Melayu, umat Islam - Syed Ali

Astro Awani
Mei 9, 2017 21:42 MYT
UMNO tidak akan berganjak memperjuang dan mempertahankan masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
UMNO tidak akan berganjak dalam memperjuang dan mempertahankan masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, tidak ada mana-mana pihak yang boleh menyekat perjuangan UMNO dalam memperjuangkan kebajikan rakyat.
"Kita akan tentang habis-habisan mereka yang cuba menidakkan kepentingan Melayu walaupun parti melalui pelbagai halangan dan rintangan sama ada dari dalaman dan luaran. Apa yang pasti kita tidak pernah memesongkan keyakinan orang Melayu.
"Keupayaan dan ketelusan UMNO menjadi antara faktor penting mengapa orang Melayu masih setia dan tetap bersama parti yang bakal menyambut ulang tahun ke-71 penubuhannya, 11 Mei ini.
"Saya sentiasa berkeyakinan UMNO tidak akan hancur, tidak akan runtuh selagi asas perjuangannya berpaksi kukuh di atas landasan kebenaran, keikhlasan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat terutama bangsa Melayu," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
BACA: UMNO boleh terus kekal jadi tunjang pemerintahan negara - Hussein Ahmad
BACA: Anggota parti diingatkan taat setia kepada pemimpin - Noh Omar
Katanya, pahit maung dan cabaran getir yang pernah melanda parti tidak sedikit pun melemahkan akar tunjang perjuangan terutama di peringkat akar umbi.
Malah ujar beliau, kegetiran, pergeseran dan perpecahan termasuk yang tercetus di peringkat dalaman sepanjang tempoh 71 tahun lalu semakin mematang serta menguatkan lagi perjuangan UMNO.
"Kebijaksanaan dan sikap istiqamah para pemimpinnya juga telah menjana kekuatan dan kekukuhan UMNO di samping sokongan rakyat yang tidak pernah luntur," ujarnya.
Justeru, beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mahu prinsip setia kepada pemimpin perlu dijadikan pegangan kukuh dalam perjuangan.
Menurutnya, kekuatan sesebuah parti politik bergantung kepada sejauh mana setianya ahli-ahli kepada pucuk pimpinan.
"Jika sesebuah parti hanya dibarisi oleh pendokong yang seumpama sokong membawa rebah dan 'gunting dalam lipatan', parti itu pasti akan tumbang, ranap dan hancur," tegasnya.
Dalam hal itu kata beliau, kadangkala kepimpinan parti terpaksa bertindak tegas untuk menyingkirkan mana-mana puak yang menunjukkan sikap 'musang berbulu ayam'.
"Memang tindakan tegas itu akan menjadikan pemimpinnya tidak popular, tetapi itulah tindakan perlu untuk memperkukuhkan parti.
"Adalah lebih bermanfaat menjadi pemimpin yang tidak popular darpada menjadi pemimpin yang membiarkan perosak berada dalam parti yang akhirnya menjahanamkan kesatuan dan perpaduan sedia ada," tegasnya.
Sememangnya ujar beliau, adalah mustahil untuk seseorang pemimpin itu memuaskan hati dan memenuhi kehendak kumpulan tertentu.
"Pemimpin parti tetap berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat tanpa mempedulikan desakan golongan minoriti.
"Inilah yang sedang dilakukan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun beliau diserang dan difitnah bertalu-talu oleh musuh politik dan pihak berkepentingan," tegasnya.
Menurut Syed Ali lagi, ahli-ahli UMNO perlu menunjukkan kesetiaan kepada Datuk Seri Najib selaku presiden parti dan menyokong dasar pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Datuk Seri Najib bukan sahaja memperjuangkan kepentingan lebih tiga juta ahli-ahli UMNO tetapi selaku Perdana Menteri turut bertanggungjawab terhadap rakyat pelbagai kaum di negara ini.
"Oleh sebab itu, pemimpin UMNO di setiap peringkat tidak seharusnya membiarkan Najib keseorangan menepis asakan dan terjahan pihak pembangkang," katanya.
Beliau seterusnya berharap manifestasi daripada sambutan ke-71 tahun UMNO 11 Mei ini akan menjadi penanda aras untuk parti bergerak seimbang dengan perubahan masa dan tuntutan generasi masa kini.
"Orang Melayu dan umat Islam di negara ini, sedang berdepan dengan krisis keyakinan dan keupayaan untuk melangkah lebih jauh setanding bukan Melayu.
"Hakikatnya orang Melayu dan umat Islam bersaing dan disaingi daripada setiap sudut, di sinilah peranan yang perlu dilakukan oleh UMNO secara realiti dan lebih agresif," katanya.
#Barisan Nasional #Najib Razak #Syed Ali #UMNO
;