Perjuangan Shafie harus dipersoal, bukan ucapan Anifah - Pemuda UMNO

Astro Awani
Februari 23, 2018 12:28 MYT
ARNIZAN: UMNO dan BN buruk di mata Shafie kerana isu kepentingan Sabah atau kepentingan Shafie dalam parti dan kerajaan? - Gambar facebook.com/armizanameer
Pergerakan Pemuda UMNO membidas Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berhubung satu ucapan baru-baru ini.
Exconya, Arnizan Mohd Ali berkata, tuduhan mengatakan Anifah mempertikaikan status Shafie tidak benar kerana menteri itu langsung tidak menyebut nama Presiden Warisan itu.
"Bagi saya amat jelas bila mana sudah tidak ada modal politik untuk meraih undi, apa sahaja akan cuba dilakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
BACA: Laporan polis dibuat ke atas Parti Warisan
BACA: Jangan cuba 'baju baharu' untuk menukar kerajaan - Anifah
Pada 9 Februari lalu di satu majlis makan malam Tahun Baru Cina, Anifah menyeru rakyat Sabah mempertahankan negeri itu dengan memastikan kerajaan negeri hanya dipimpin oleh penduduk Sabah Asli tanpa mengira latar belakang kaumnya.
Bagaimanapun, Warisan kemudian membuat laporan polis terhadap Anifah dengan dakwaan menimbulkan kebencian kaum terhadap parti itu dan juga keturunan Shafie.
Dalam pada itu, Arnizan berkata, Anifah mengeluarkan pendapat selari dengan perjuangan hak dan kepentingan pribumi Sabah.
"Anifah tidak mempertikaikan status kewarganegaraan mana-mana individu secara spesifik.
"Tidak perlu diperjelaskan panjang lebar, sebagai anak Sabah, kita tahu realiti yang berlaku di negeri kita termasuk ancaman luar yang kita hadapi," ujarnya.
Namun begitu, Arnizan berkata perjuangan Shafie untuk Sabah terutama sepanjang beliau memegang portfolio menteri sewajarnya dipersoalkan.
"Bagi beliau, statusnya tidak wajar dipertikai dan tidak wajar juga perjuangannya tentang Sabah diperkecilkan. Sejak bila Shafie bersuara tentang hak dan kepentingan Sabah?
"Ketika Anifah memulakan secara terbuka diskusi berkaitan kepentingan Sabah, di mana suara Shafie yang ketika itu masih berada dalam kerajaan?" soal Arnizan.
Arnizan turut menimbulkan persoalan dan mengambil maklum Shafie hari ini lantang mengkritik UMNO dan BN dalam isu-isu negeri.
"Pemergiaan Shafie daripada UMNO pada Julai 2016 bukan kerana Sabah tetapi marah kerana dia digantung keahlian UMNO dan kecewa digugurkan daripada kabinet kerana isu lain dan bukannya kepentingan Sabah.
"UMNO dan BN buruk di mata Shafie kerana isu kepentingan Sabah atau kepentingan Shafie dalam parti dan kerajaan?" soalnya.
Arnizan berkata, salah satu strategi memperjuangkan kepentingan Sabah adalah melantik rakyat Sabah ke jawatan-jawatan penting di peringkat kerajaan persekutuan
"Pencapaian Shafie tidak seberapa berbanding Anifah dan menteri-menteri lain seperti Datuk Seri Rahman Dahlan (Jabatan Perdana Menteri), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Seri Salleh Said Keruak (Komunikasi dan Multimedia).
"Semua ini mereka lakukan dalam tempoh kurang dua tahun menjadi menteri persekutuan.
"Soalan saya yang terakhir, sejak menjadi menteri penuh tahun 2004 hingga 2015 di tiga kementerian, siapakah dan adakah anak Sabah yang Shafie posisikan dalam jawatan kanan strategik dalam perkhidmatan awam persekutuan?" soalnya.
#Anifah Aman #Arnizan Mohd Ali #Barisan Nasional #Rahman Dahlan #Salleh Said Keruak #Shafie Apdal #UMNO #Warisan
;