Perjanjian Pakatan Harapan tidak pernah konsisten - Syed Ali

Astro Awani
Disember 15, 2016 14:40 MYT
Perjanjian bersama parti di dalam Pakatan Harapan tidak pernah konsisten dan hanya mementingkan politik peribadi. - Gambar fail
Perjanjian bersama PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dianggap tidak konsisten dalam usaha membela nasib rakyat.
Ketua UMNO Bahagaian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, ia gimik politik yang mementingkan parti masing-masing selain bukan demi rakyat atau negara.
"Perjanjian yang dinamakan di bawah gabungan Pakatan Harapan yang menyaksikan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad hanya menjuruskan kepada kepentingan agenda politk masing-masing.
"Pakatan Harapan sekadar mengulangi retorik Pakatan Rakyat yang dibentuk sebelum ini dalam usaha blok pembangkang menentang BN khususnya UMNO. Agenda mereka sekadar meneruskan kelangsungan politik.
"Ia akan menjadi seperti Pakatan Rakyat yang akhirnya berkubur kerana gabungan antara mereka tidak mempunyai persefahaman dan masing-masing bertelagah terutama membabitkan pengagihan kerusi pilihanraya," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Oleh sebab itu tegasnya, Pakatan Harapan yang baru dibentuk itu sekadar jenama Pakatan Rakyat yang diperbaharui semula dengan sedikit perubahan setelah kehadiran PPBM.
"Disebabkan empat parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan itu mempunyai latar belakang dan ideologi politik yang berbeza, hala tuju pakatan tersebut masih tidak jelas.
"Pakatan Harapan pasti akan didominasi oleh DAP sebagai penentu dasar sepertimana berlaku dalam Pakatan Rakyat sebelum ini dengan PKR masih kekal sebagai penumpang yang tidak mempunyai kekuatan tersendiri.
"Manakala Amanah pimpinan Mohamad Sabu merupakan serpihan PAS dan PPBM pula diterajui bekas pemimpin UMNO yang sememangnya kehadiran mereka masih dicurigai DAP, parti rasis yang memperjuangkan kepentingan kaum Cina," ujarnya.
Syed Ali turut menyifatkan Pakatan Harapan sebagai pakatan yang tidak jujur kerana di kalangan mereka masih kekal dengan ideologi masing-masing.
"Jika mereka (pakatan pembangkang) benar-benar jujur, mereka suda lama memeterai satu pakatan sepertimana yang telah diamalkan oleh BN dengan kesemua parti gabungan berpegang kepada prinsip di bawah satu lambang.
"Saya percaya pada PRU akan datang parti-parti pembangkang yang bergabung dalam Pakatan Harapan besar kemungkinan akan bertanding menggunakan lambang parti masing-masing.
"Ini petanda mereka tidak ikhlas dan jujur sesama sendiri, masing-masing berpegang kepada kemahuan sendiri, jika betul ikhlas, gunakanlah satu lambang sepertimana UMNO, MIC atau MCA yang menggunakan lambang BN," tegasnya.
Mengenai keengganan Pas menyertai Pakatan Harapan, Syed Ali menjelaskan tindakan itu membuktikan pakatan tersebut tidak mempunyai hala tuju yang jelas.
"Pas pernah bergabung dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, semestinya Pas tidak mahu diperkudakan untuk kali kedua, Pas mungkin sudah masak dengan muslihat dan agenda pakatan tersebut," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali berkata, semua pihak seharusnya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan semakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan sabitan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
"Anwar kekal terpenjara dan keputusan itu kena terima dengan hati yang terbuka, itu keputusan perundangan yang semestinya tidak berat sebelah.
"Ia juga hak Anwar jika dimengemukakan rayuan pengampunan daripada Yang di Pertuan Agong.
"Hakikatnya, Anwar kekal di penjara Sungai Buloh atas kesalahannya, perjuangan politiknya juga sudah berakhir," jelasnya.
#Pakatan Harapan #PAS #PKR #PPBM #Syed Ali #UMNO
;