Perjanjian Pakatan Harapan tidak akan kekal lama kerana tidak dimeterai di hati - PAS

Astro Awani
Januari 9, 2016 17:45 MYT
DR MOHD ZUHDI: Janji yang termeterai dalam Pakatan Harapan akan jadi perkara yang samalah yang terjadi dalam Pakatan Rakyat dahulu. Ia tertulis untuk buat begini, dan buat itu, namun ia tidak tertulis dalam hati.- Foto Astro AWANI
"Perjanjian yang dimeterai dalam Pakatan Harapan pada Sabtu tidak akan berkekalan lama."
Itu jaminan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
Menurutnya, apa yang dimeterai Pakatan Harapan hanya sekadar cakap sahaja memandangkan setiap parti dalam pakatan tersebut seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Rakyat, mempunyai agenda tersendiri.
"Janji yang termeterai dalam Pakatan Harapan akan jadi perkara yang sama terjadi dalam Pakatan Rakyat dahulu. Ia tertulis untuk buat begini, dan buat itu, namun ia tidak tertulis dalam hati.
"Ia hanya akan tertulis sahaja memandangkan hati masing-masing mempunyai agenda yang tersendiri," tambah Dr Mohd Zuhdi.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Khas Presiden PAS di Kolej Univerisit Islam Zulkifli Muhammad Taman Melewar, di sini hari ini. Majlis tersebut dihadiri oleh kira-kira 200 pemimpin PAS peringkat negeri.
Katanya, apabila Pakatan Harapan tidak lagi menggunakan fasal bersetuju untuk tidak bersetuju, ia adalah satu perkara yang mustahil untuk direalisasikan, terutama dalam gabungan berkenaan.
"Sebelum ini dalam pakatan rakyat dulu, kita 'Unity in Diversity', tapi bila dibuat begini, seolah-olah 'Unity in Everything' iaitu sesuatu yang tidak mungkin berlaku.
"Mustahil manusia bersetuju dalam semua perkara. Mustahil," tegasnya.
Bagaimanapun, gabungan yang dimeterai dalam Pakatan Harapan, tidak menjejaskan hubungan PAS dan PKR, kerana kedua-dua parti berkenaan mempunyai hubungan tahaluf, katanya.
"Tapi kalau PKR terus menikam belakang kita, kita akan lihat perkembangan seterusnyalah macam mana," tambahnya.
Sementara itu, naib presiden PAS, Idris Ahmad berkata taklimat berkenaan tidak berbincang khusus mengenai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
"Kita lebih berbincang mengenai isu-isu semasa sebagai parti politik, macam mana kita mahu belasah UMNO dan Barisan Nasional. Tidak bincang khusus mengenai PRU-14," katanya.
#BN #DAP #dr mohd zuhdi #Pakatan Harapan #Pakatan Rakyat #PAS #PKR #UMNO
;