Perhimpunan kemuncak #KitaLawan pada 7 Mac dapat kelulusan polis, kata Akmal Nasir

Syafique Shuib
Februari 28, 2015 08:29 MYT
Pengarah Strategi AMK, Akmal Nasir berkata perhimpunan kemuncak #KitaLawan pada 7 Mac telah mendapat kelulusan pihak polis. - Gambar Fail
Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Akmal Nasir berkata perhimpunan kemuncak #KitaLawan pada 7 Mac depan telah mendapat kelulusan pihak polis dan akan tetap diteruskan seperti yang dirancang sebelum ini.
Ia bagi menjawab kenyataan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah yang berkata pihak penganjur tidak membuat sebarang permohonan rasmi atau notis pemberitahuan kepada polis mengenai perhimpunan itu.
"Mereka (polis) akan memantau kami pada perhimpunan yang akan diadakan pada 7 Mac.
"Sebenarnya perhimpunan hari ini juga telah mendapat kebenaran pihak polis tetapi mungkin OCPD mendapat tekanan daripada pihak atasan dan menyebabkan beliau membuat pengumuman seperti semalam," kata Akmal pada sidang media di Bangunan Persatuan Hokkien, Kuala Lumpur hari ini.
Tambahnya, perhimpunan #KitaLawan mendapat sokongan daripada 50 badan bukan kerajaan (NGO), khususnya daripada golongan muda.
Zainol sebelum ini berkata pihak pengurusan lokasi perhimpunan telah membuat laporan polis dan mereka tidak memberi kebenaran ia diadakan.
"Kami juga telah mencadangkan kepada pihak penganjur untuk mengadakan perhimpunan mereka di stadium atau di Padang Merbok," jelas Zainol ketika dihubungi Astro AWANI.
Zainol berkata pihak penganjur perlu memilih tempat yang tidak mengganggu lalu lintas dan orang awam untuk melakukan perhimpunan.
#KitaLawan merupakan satu perhimpunan pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda solidariti untuk pembebasan Ketua Pembangkang itu yang kini dipenjara susulan kesalahan liwatnya.
Pada 21 Februari, perhimpunan #KitaLawan di Sogo berakhir dengan penangkapan Adam Adli dan bekas Ketua AMK Fariz Musa.
#Akmal Nasir #AMK #Angkatan Muda Keadilan #Anwar Ibrahim #Zainol Samah