Perhimpunan Agung: Wadah Puteri UMNO pacu negara ke arah TN50
Bernama
Disember 1, 2017 12:06 MYT
Disember 1, 2017 12:06 MYT
Perhimpunan Agung UMNO minggu depan merupakan wadah Puteri UMNO untuk mempersiapkan anggotanya dari aspek minda dan fizikal untuk turut sama memacu negara ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Ketua Pergerakannya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata kewujudan sayap itu sejak hampir 17 tahun lalu bukan bersandarkan politik retorik semata-mata tetapi ia merupakan pemangkin yang mencorakkan hala tuju negara untuk menjadi lebih dinamik dan maju.
"Jangan mereka (wanita muda) anggap Puteri UMNO ini hanya politik retorik semata-mata, tetapi kami juga seorang ibu, kami juga seorang anak.
"Kita harus memikirkan bagaimana kita ingin jadikan Malaysia masa kini dan Malaysia akan datang ke arah yang lebih dinamik, lebih maju, tetapi pada masa sama mengekalkan persekitaran yang kondusif serta selamat untuk anak-anak kita," katanya kepada Bernama.
Beliau yang juga anggota Parlimen Masjid Tanah berkata perhimpunan keramat yang ditunggu-tunggu ramai itu turut akan membincangkan tentang kesiapsiagaan jentera parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.
"Selain daripada membangkitkan isu mengenai politik, ekonomi, agama dan pendidikan, Puteri UMNO akan membincangkan topik hangat seperti revolusi perindustrian 4.0 dan kecerdasan buatan," jelas Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu.
Ditanya mengenai strategi Puteri UMNO untuk menarik lebih ramai pengundi wanita muda, beliau berkata ia merupakan tugas dan tanggungjawab sayapnya untuk mencari serta berhubung dengan pengundi berkenaan yang jumlahnya mencecah 1.7 juta seluruh negara.
Katanya, Puteri UMNO harus mencari golongan berkenaan bagi memastikan mereka menyokong dan memangkah Barisan Nasional (BN) melalui kertas undi, seterusnya memastikan BN kembali memperoleh majoriti dua pertiga pada PRU14 akan datang.
"Bentuk sokongan itu haruslah bermula dengan gerak kerja, dengan sentuhan dan pastinya dengan mengambil kira isu-isu yang melingkari wanita muda masa kini, sebab itulah perhimpunan agung ini cukup penting untuk kami perjuangkan harapan dan juga hak wanita muda Malaysia," tambahnya.
Beliau pada masa sama menyifatkan anggota Puteri UMNO seluruh negara yang jumlahnya mencecah 390,843 sehingga September lepas sebagai nadi dan jantung sayapnya itu.
"Tanpa mereka dan tanpa penglibatan mereka yang terus ke akar umbi, pastinya Puteri UMNO tidak dapat meneruskan perjuangan yang ada, hampir 17 tahun ini," kata Mas Ermieyati.
Beliau turut menyeru anggota sayapnya supaya memanfaatkan sepenuhnya penggunaan media sosial untuk menyalurkan maklumat selain bertindak sebagai senjata ampuh bagi menangkis tohmahan yang dilemparkan netizen terutama kepada pihak UMNO dan BN.
Jelasnya, beliau tidak pernah mengajar anggota Puteri UMNO untuk melemparkan tohmahan bagi menyerang pihak lawan, sebaliknya mengingatkan anggotanya bertindak bijak dan matang dengan menyediakan fakta dan cerita benar terhadap sesuatu isu kepada pengguna media sosial.
"Sudah pasti kami juga akan bangkitkan isu ini di perhimpunan agung itu, ia adalah sebahagian gerak kerja kami untuk menuju ke arah PRU14," katanya.
Mas Ermieyati berkata orang ramai juga berpeluang menyaksikan kempen SAFE (Stop Abuse For Everyone) yang akan dilancarkan Puteri UMNO pada 4 Dis depan selain Laman Puteri di Anjung Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini yang akan menyajikan pelbagai aktiviti seperti kempen derma darah.
Seramai 5,739 perwakilan dijadualkan menghadiri perhimpunan agung lima hari itu yang akan bermula 5 Dis. - BERNAMA
#Barisan Nasional
#Mas Ermieyati Samsudin
#Parlimen
#Parlimen Masjid Tanah
#Perhimpunan Agung UMNO
#pilihan raya umum
#politik
#PRU14
#Puteri UMNO
#PWTC
#TN50
#Transformasi Nasional 2050
#wanita