Perhimpunan Agung UMNO bukan gelanggang puji PM Najib - Syed Ali

Astro Awani
Disember 3, 2016 12:46 MYT
Syed Ali menyelar dakwaan seorang pemimpin kanan parti pembangkang yang menuduh Perhimpunan Agung UMNO 2016 sebagai gelanggang memuji Najib.
Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyelar dakwaan seorang pemimpin kanan parti pembangkang yang menuduh Perhimpunan Agung UMNO 2016 sebagai gelanggang memuji kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua UMNO Bahagian Cheras itu menegaskan, perwakilan UMNO terutamanya ketiga-tiga sayap parti bukannya dangkal untuk menzahirkan pujian dan sanjungan kepada Perdana Menteri jika ia tidak berasas.
"Tidak salah bagi mereka untuk menzahirkan penghargaan dan pujian kerana Najib yang juga Presiden UMNO yang telah terbukti berjaya membawa satu anjakan pembaharuan kepada parti dan pentadbiran negara," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Sepertimana mereka katanya, terlalu mengagung-agungkan pemimpin tertentu sehingga tidak mampu untuk menilai yang mana baik dan buruknya walaupun tindakan politik mereka boleh menjejaskan keamanan negara.
"Pembangkang lagi teruk, sanjung seseorang pemimpin keterlaluan dan secara membabi-buta sehingga tidak boleh disentuh.
"Tuduhan pembangkang itu sebagai tidak berasas dan sekadar menumpang populariti ketika melihat kesepakatan dan perpaduan UMNO pada Perhimpunan Agung kali ini.
"Perhimpunan Agung UMNO diadakan setahun sekali, maka adalah munasabah dan beradab untuk ahli-ahli UMNO menzahirkan sanjungan kepada ketua (Presiden) mereka," ujarnya.
Pembangkang tambah beliau, mula terasa tidak tenteraam apabila melihat kesepakatan ahli-ahli UMNO terhadap kepimpinan Najib yang diterjemahkan dengan lautan 'gelombang biru'.
Seorang pemimpin kanan parti pembangkang menerusi sebuah portal berita menuduh Perhimpunan Agung UMNO kali ini sebagai gelanggang perwakilan dan ketiga-tiga sayap parti melontarkan pujian dan mengampu Najib.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan memberitahu, ucapan dasar presiden parti semalam merupakan amanat dan ingatan yang cukup relevan kepada ahli parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Katanya, dalam ucapannya tersebut, Najib telah memberi bayangan bahawa PRU-14 semakin hampir dan kemungkinan akan berlaku bila-bila masa mulai sekarang.
"Walaupun Najib tidak menyatakan secara terus-terang, tetapi bayangan tersebut telah memberi isyarat kepada seluruh kepimpinan parti dan ahli-ahli di peringkat akar umbi supaya meningkatkan persedian bagi berdepan dengan pembangkang.
Najib ujar beliau lagi, telah memberi bayangan dan seluruh jentera parti peru bersiap sedia untuk bertempur dengan pihak lawan .
"PRU14 adalah pertarungan hidup mati UMNO, kita kena menentang mereka (pembangkang) habis-habisan. Kita perlu gunakan segala yang ada bagi memastikan UMNO terus kekal utuh dan memenangi plihan raya dengan lebih cemerlang.
Justeru itu katanya, ahli-ahli UMNO perlu menguatkan perpaduan dan melakukan gerak kerja secara bersepadu termasuk mengetepikan sentimen peribadi menjelang PRU yang semakin hampir.
"Sepertimana pesanan Presiden UMNO bahawa parti ini adalah untuk masa depan anak cucu kita, maka kita perlu berjuang dengan segala keringat yang ada bagi memastikan orang Melayu terus terbela," tegasnya.
#najib #Perhimpunan Agung UMNO #Syed Ali
;