Perhimpunan Agung UMNO 29 November hingga 3 Disember

Wan Syamsul Amly, Hilal Azmi
September 30, 2016 12:04 MYT
UMNO menerima pendaftaran ahli seramai 6,000 orang pada Ogos lepas - Gambar fail
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini menetapkan 29 November hingga 3 Disember depan sebagai tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2016.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, taklimat Presiden akan diadakan pada petang 29 November diikuti perasmian sayap parti pada sebelah malamnya.
"MT juga memutuskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan merasmikan persidangan serentak pada malam itu.
"Pada Rabu akan diadakan persidangan sayap diikuti mesyuarat Majlis Tertinggi Khas pada malam itu.
"Perhimpunan UMNO akan bermula pada 1 sehingga 3 Disember, itu jadualnya," katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini hari ini.
Dalam pada itu Datuk Seri Najib memberitahu, UMNO menerima pendaftaran ahli seramai 6,000 orang pada Ogos lepas.
"Ianya seramai 374 ahli biasa, 731 Wanita, 2,716 Pemuda dan 2,179 Puteri. Ia bukti UMNO mendapat sambutan ramai," ujarnya.
Datuk Seri Najib turut memberitahu, kemenangan pro aspirasi di 12 universiti merupakan gambaran positif dasar kerajaan diterima generasi muda.
Jelasnya lagi, MT juga telah menerima beberapa pandangan untuk Bajet 2017 dan akan diambil kira mengikut kewangan Kerajaan.
#Najib Razak #PAU 2016 #Perhimpunan Agung UMNO 2016 #UMNO