Perhalusi SOP PRN Melaka, elak kekeliruan rakyat - Wan Saiful

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 25, 2021 18:07 MYT
WAN SAIFUL: Kalau calon atau kita (jentera parti) ke pasar malam adakah itu melanggar SOP? - Gambar fail
TELOK MAS: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghormati keputusan kerajaan berhubung prosedur operasi standard (SOP) untuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan 20 November ini.
Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan bagaimanapun berkata, perkara itu perlu diperhalusi supaya semua tawaran dibuat oleh parti-parti yang mengambil bahagian, sampai kepada rakyat dengan jelas.
“Secara dasarnya kita faham SOP tersebut terpaksa dikeluarkan untuk menjaga kesihatan rakyat secara keseluruhannya dan dalam masa sama kita juga mahu memastikan PRN ini berjalan dengan adil dan telus.
“(Tetapi) ada beberapa perkara yang kita akan mohon supaya diperbaiki, diperkemaskan dan parti biarkan perbincangan itu berlaku di peringkat dalaman sahaja.
“Kita juga ada beberapa kebimbangan mengenai boleh atau tidak rakyat mendapat maklumat yang paling tepat mengenai tawaran yang diberikan oleh parti yang bersaing. Maka, parti akan menyampaikan pandangan itu melalui menteri-menteri kita yang berada dalam jemaah kabinet,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di sini, hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, larangan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) itu wajar diperhalusi segera kerana menimbulkan kekeliruan terutamanya kepada jentera politik yang bakal memulakan kempen pilihan raya.
“Dalam saya berjumpa jentera di peringkat DUN dan sebagainya, antara komen yang paling sering timbul ialah kalau kita boleh pergi ke kedai makan, dan calon pergi ke kedai makan, tiba-tiba orang datang berjumpa dengan calon, adakah itu melanggar SOP?
“Kalau sekiranya calon atau kita (jentera) ke pasar malam adakah itu melanggar SOP?” soalnya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan media memaklumkan larangan aktiviti, perhimpunan, majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan bermula 25 Oktober sehingga 27 November depan.
Larangan itu dibuat berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) PeraturanPeraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LangkahLangkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
Jelasnya, ia bagi bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dan peningkatan kes mendadak susulan penularan varian Delta dalam komuniti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 8 November sebagai tarikh hari penamaan calon, hari pengundi awal pada 16 November dan hari mengundi pada 20 November depan.
PRN Melaka bakal melibatkan 495,196 orang pengundi di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
#SOP #pilihan raya #PRN Melaka #Wan Saiful Wan Jan
;