Pergolakan di Sabah? Keadaan tenang ketika ini - PM Anwar

Hasimi Muhamad
Januari 6, 2023 16:32 MYT
Situasi politik di Sabah tenang dan tiada perubahan dalam kepimpinan negeri pada masa ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi gambaran situasi politik di Sabah kembali tenang susulan dakwaan berlaku gerakan untuk menjatuhkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Jelas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, beliau telah menghubungi pemimpin tertinggi setiap parti termasuk UMNO, Parti Warisan (Warisan) dan DAP untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung keadaan di Sabah.
"Sabah? Saya hubungi semua termasuk Hajiji, (Datuk Seri) Ahmad Zahid, (Datuk Seri) Shafie Apdal, (Datuk Seri) Bung Mokhtar dan bincang dengan Ahmad Zahid, Anthony Loke dan nampak keadaan tenang sementara ini dan saya tida fikir ada apa-apa gejolak yang berlaku," katanya kepada pemberita di Masjid Bukit Aman pada Jumaat.
Anwar menambah, beliau turut meminta Hajiji untuk mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain di Sabah.
"Saya nampak tidak ada apa-apa perkembangan cuma dimaklumkan ada beberapa isu dan saya minta Ketua Menteri bincang dengan baik dengan rakan-rakan di Sabah.
BACA: Rampasan kuasa gagal, Bung Moktar dijangka 'digugurkan' dalam rombakan Kabinet Sabah
Semalam khabar angin bertiup kencang kononnya Mohd Shafie dan beberapa pemimpin UMNO serta PH Sabah menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, dipercayai ada kaitan dengan pertukaran kerajaan negeri dan Ketua Menteri.
Kerajaan baharu itu didakwa diwujudkan menerusi kerjasama dan BN dengan Mohd Shafie dikatakan bakal dilantik semula sebagai Ketua Menteri.
Begitu pun, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kemudian mengeluarkan kenyataan mengenai kesediaan membuktikan keabsahan Hajiji, jika ada keperluan untuk berbuat demikian.
DUN Sabah mempunyai 79 ADUN, melibatkan 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik.
#Politik Sabah #Anwar Ibrahim #GRS #Hajiji Noor
;