Pergi menghadap YDP Agong kalau hendak sangat Parlimen bubar - Nazri

Irwan Muhammad Zain
Jun 8, 2022 16:26 MYT
Mohamed Nazri berkata, perdana menteri sebelum ini tidak pernah ditekan supaya membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya umum kerana menghormati bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemimpin-pemimpin UMNO yang mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong dan memohon perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen, kata Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Mohamed Nazri menegaskan adalah tidak wajar untuk sesetengah pemimpin UMNO mendesak supaya PRU dilaksanakan segera kerana keputusan untuk membubarkan Dewan Rakyat terletak pada Yang di-Pertuan Agong.
“Sepanjang pengalaman saya menjadi menteri selama lebih 10 tahun, perdana menteri yang lepas tidak pernah membincangkan tarikh pelaksanaan PRU dalam kabinet. Ini kerana mereka menghormati bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.
"Namun baru-baru ini, buat pertama kalinya isu ini dibincangkan secara terbuka oleh kepimpinan UMNO.
"Pandangan saya mudah, kalau pucuk kepimpinan UMNO hendak sangat PRU segera, pergilah menghadap Seri Paduka. Hasil keputusan daripada pertemuan itu kemudiannya maklumkan sahaja kepada perdana menteri...Kalau mereka beranilah," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri juga menegaskan adalah tidak logik bagi segelintir pemimpin UMNO berpandangan parti itu dan Barisan Nasional (BN) perlu mengetuai kerajaan selepas PRU15 bagi menstabilkan politik negara dan menyelesaikan isu permasalahan rakyat.
Beliau menjelaskan, hal ini kerana kerajaan sedia ada sudah dikuasai oleh UMNO dan BN dengan Perdana Menterinya terdiri daripada pemimpin UMNO sendiri.
“Kalau kita kata, kita perlukan PRU15 untuk kembali mendapat kuasa mengetuai kerajaan, bukankah UMNO dan BN sudah menguasai kerajaan sedia ada?
“Dengan kos perbelanjaan PRU15 dianggarkan mencecah RM1 bilion, kalau ia diadakan sekarang, mana kerajaan hendak cari duit sebanyak itu? Di luar sana, ramai lagi rakyat yang susah disebabkan isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup,” katanya lagi.
Mohamed Nazri dan beberapa pemimpin UMNO antaranya Tan Sri Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin merupakan pemimpin UMNO yang sering menegaskan agar PRU15 tidak diadakan dalam tempoh terdekat kerana masa yang belum sesuai.
#Mohamed Nazri Abdul Aziz #bubar parlimen #Yang di-Pertuan Agong #Pilihan Raya Umum ke-15
;