'Pergeseran dalaman Pakatan Rakyat punca kekalahan DAP' - Kit Siang
Wan Syamsul Amly
Mei 8, 2016 15:13 MYT
Mei 8, 2016 15:13 MYT
DAP mengaku pergeseran dalaman serta tiada sepakat menjadi punca kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 kali ini.
Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, kehilangan lima kerusi majoriti Cina mereka dapat dielak seandainya krisis dalaman di antara parti pembangkang diselesaikan sebelum musim kempen lagi.
Katanya, ia merupakan tamparan hebat buat pembangkang di Sarawak sendiri.
"Kekesalan utama saya adalah Pakatan Harapan tidak menjadi satu gerakan utama di Sarawak. Ia menjadikan keputusan kali ini sedikit berbeza dan kita akan cari jalan untuk menangani masalah ini," katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini hari ini.
LAPOR LANGSUNG: Rangkuman hari pengundian
VIDEO: DAP catat prestasi terburuk
Turut hadir, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.
Pada Sabtu, Barisan Nasional (BN) mencapai kejayaan besar dalam PRN Sarawak apabila menguasai 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk dua kerusi yang dimenangi tanpa bertanding.
DAP sebelum ini menguasai 12 kerusi kini hanya menang di tujuh kerusi daripada 31 yang ditandinginya.
Sementara PKR hanya memperoleh tiga kerusi walaupun bertanding di 41 kerusi.
Kegagalan DAP mempertahankan lima kerusinya membuktikan strategi dan pendekatan parti itu dalam meraih undi ditolak rakyat negeri itu sendiri.
Kit Siang turut menjelaskan, peratusan keluar mengundi yang rendah menjadi faktor kekalahan lima kerusi parti itu ke tangan BN.
Selain itu katanya, reputasi Team Adenan turut menyumbang kemenangan besar BN dalam PRN.