Peremajaan parti: Kenapa tidak tiru perjalanan politik Perdana Menteri? - Noorazli

Astro Awani
November 24, 2014 19:25 MYT
NOORAZLI: Peremajaan ini bukan mustahil dan bukan bermaksud buang yang lama dan ganti yang baru.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat contoh terbaik kejayaan 'program' merekrut muka-muka baru di dalam Umno untuk menjadi pemimpin parti.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Sepang, Noorazli Said berkata, revolusi parti dalam aspek berkenaan boleh menjadi realiti seandainya berlaku anjakan pemikiran pemimpin sedia ada hari ini.
"Bagaimana parti ni boleh berevolusi jika ramai pemimpinnya masih lagi dari era 70-an dan 80-an. Cara berfikir dan gerak kerjanya sama sekali tidak sama dengan cara berfikir generasi muda hari ini. Berpakaian juga masih lagi berkain linen dan bersongkok senget.
"Peremajaan ini bukan mustahil dan bukan bermaksud buang yang lama dan ganti yang baru. Tetapi berilah ruang dan peluang agar gandingan yg lama dan baru boleh memberi impak lebih besar pada Piliha Raya Umum (PRU) ke-14 kelak.
"Kita harus sedar sekurang-kurangnya 40 peratus adalah pengundi muda dan ingin wakil dari golongan sama yang boleh perjuangkan suara mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Noorazli mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan Umno adalah satu-satunya parti yang menyanjung dan mengiktiraf peranan generasi muda dengan menyediakan platform luahan pandangan dan idea mereka.
Dalam pada itu kata Noorazli, contoh terbaik kejayaan peremajaan parti adalah perjalanan politik Najib sebelum menjadi Perdana Menteri.
"Najib diangkat menjadi Ahli Parlimen Pekan pada umur 23 tahun (1976) pada zaman Tun Hussein Onn dan di angkat menjadi Menteri Besar Pahang pada umurnya 29 tahun (1982) pada zaman Tun Dr Mahathir.
"Kemudian mula menjadi Menteri Kabinet pada umur 33 tahun (1986)," jelasnya.
Katanya lagi, isu peremajaan parti juga dilihat 'perbandingan' di antara slogan dan manifestasi kepada Umno sendiri.
"Ada yang mengatakan generasi muda hari ini tidak sabar dalam berparti. Ada juga yang mengatakan sudah cukupkah ilmu hendak mengemudi satu perkumpulan besar ahli parti dan ada juga yang mengatakan baru setahun jagung sudah pandai hendak lawan 'taukeh'(pemimpin tertinggi).
"Sebagaimana maklum setiap sayap punya had umur dan apabila sampai hadnya jawatan akan dilepaskan secara terhormat. Tujuan pembentukan sayap adalah untuk merekrut pelapis kepimpinan. Namun mengapa selepas tamat had umur, mereka ini dilihat sebagai satu ancaman kepada jawatan yang lebih tinggi?" ujarnya.
Noorazli sebelum ini pernah meminta mana-mana pemimpin di dalam Umno yang memegang jawatan lebih dua penggal atau kira-kira 10 tahun dinasihat untuk mengundurkan diri dan memberi peluang kepada muka-muka baru di dalam parti.
Ia bagi memastikan kesinambungan kekuatan parti lebih-lebih lagi mahu menawan kembali kerusi-kerusi yang kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lepas.
#najib #noorazli #parti #pemimpin #PRU #remaja #sayap
;