Peremajaan parti bukan bermakna rampas kuasa orang lama - Khairy
Astro Awani
November 29, 2014 16:51 MYT
November 29, 2014 16:51 MYT
Peremajaan parti bukan bermaksud golongan muda dalam parti itu merampas kuasa daripada pemimpin yang sudah lama berjuang, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Khairy Jamaluddin bimbang istilah peremajaan parti akan memisahkan golongan muda dan pemimpin lama, seterusnya melemahkan parti.
Katanya, peremajaan parti bukan sekadar dilihat kepada usia, tetapi keupayaan setiap lapisan kepimpinan menggarap imaginasi anak muda.
"Selaku ketua, saya khuatir ke mana isu ini akan pergi, saya risau ada yang salah faham dan salah erti, daripada cadangan untuk kukuhkan parti ia akan jadi satu bom jangka yang boleh meletup.
"Ada ketua bahagian sudah mula dipandang senget oleh ketua pemuda. Dulu peluk erat, hari ini hanya salam di hujung jari sahaja.
"Peremajaan tidak semata-mata kepada umur, ia menyeluruh. Bukan kita minta pemimpin lama pakai stoking pink; itu bukan lagi autentik, itu lunatik.
"Peremajaan juga harus boleh dilakukan oleh orang lama," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO ke-68, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Khairy Jamaluddin juga memberi peringatan penting kepada semua ahli pemuda UMNO supaya melengkapkan diri dengan kriteria berkualiti sebagai pewaris parti, sekali gus membuktikan kehebatan kepada barisan kepimpinan.
"Saya sebut, jangan kita dalam Pemuda syok sangat dengan peremajaan, kita mesti layak.
"Bukan laluan percuma; kalau tak layak memang tak layak, kalau ada rezeki, Alhamdulillah.
"Itulah kita faham, cara Melayu hormat kepada yang lama," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dalam ucapan penggulungannya, membulatkan tekad untuk menjunjung obor perjuangan parti yang diamanahkan.
Mas Ermieyati berkata sayap Puteri juga akan menggembleng jentera penerangan untuk menangkis fitnah terhadap parti itu di alam siber.
"Puteri UMNO telah diasuh sejak awal untuk menggunakan kepakaran yang ada dalam mengendalikan teknologi maklumat.
"Dunia siber berkembang pesat dan jadi gaya hidup gunakan IT.
"Pasukan Semut Api Merah Jambu akan bina jaringan yang luas di kalangan wanita muda negara untuk menyampaikan maklumat sahih dan benar.
"Puteri UMNO akan menjadi mata dan telinga bagi membendung gejala tak sihat di alam maya," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan pihaknya mahu menjadi jentera politik dalam parti, bukan sekadar jentera ketika pilihan raya berlangsung.
Shahrizat berkata sayap wanita sentiasa bertindak sebagai ibu kepada ahli-ahli UMNO dalam menggerakkan jentera parti.
"Kita sudah buat ketetapan, kami juga mahu jadi jentera politik dalam parti.
"Usul yang dibawa bukan hanya pembelaan untuk wanita, keluarga dan masyarakat sahaja, tetapi pada kali ini kita nyatakan wanita tidak akan kompromi tentang keluhuran perlembagaan, kontrak sosial, agama Islam, hak istimewa melayu dan isu bahasa Melayu," katanya.
Shahrizat berkata usaha sayap Wanita ini seiring dengan cabaran presiden kepada pergerakan wanita untuk meningkatkan prestasi parti.
Jelas beliau, Pergerakan Wanita UMNO akan meneruskan nilai taat dan setia dalam usaha menggerakkan jentera parti.