'Peremajaan kunci UMNO rampas semula Selangor' - Armand

Wan Syamsul Amly
Ogos 8, 2016 18:44 MYT
ARMAND: 'Peremajaan kunci UMNO rampas semula Selangor' - Gambar fail
UMNO Selangor perlu yakin kepada usaha peremajaan parti untuk memastikan kemenangan berpihak semula kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, semua ahli parti juga harus menyemai mentaliti untuk menang dan melupakan kisah sedih kekalahan pada PRU sebelum ini.
"Persekitaran sekarang dan akan datang adalah amat-amat mencabar. Namun demikian saya tidak mahu kita ada sikap mengalah. Kalau ada, kita akan kalah pada pilihan raya.
"Kita perlu ada mentaliti untuk menang. Kita sendiri sekarang tidak yakin dapat pulihkan dan tingkatkan sokongan anak muda. Masanya kini untuk kita tingkatkan sokongan orang muda khususnya di Selangor. Peremajaan kunci kemenangan UMNO di Selangor.
"Seluruh UMNO Selangor perlu bangkit sekarang dan jangan tunggu sehingga pilihan raya serta yakin kepada transformasi peremajaan UMNO di Selangor. Kekuatan teras kita kekal kuat iaitu politik. Khidmat bakti kita kepada rakyat terbukti sejak puluhan tahun," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli dan pemimpin UMNO Selangor supaya mengikut sifat bersatu-padu kelip-kelip dalam perjuangan mereka untuk merampas semula negeri itu daripada pentadbiran PKR pada PRU ke-14.
Tegasnya, biarpun kelip-kelip hanya sejenis serangga kecil yang cahayanya kelihatan dari kejauhan, namun jika ia dalam jumlah yang besar cahayanya akan memancar.
Dalam pada itu jelas Armand, UMNO juga perlu dilihat relevan kepada golongan muda dengan menyelesaikan masalah mereka.
"Selain itu parti perlu kuasai kerajaan, kerajaan perlu bergerak selesaikan masalah rakyat yang menjadi perjuangan parti sepanjang 70 tahun ini," tegasnya.
Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar memberitahu akan mengemukakan senarai calon PRU ke-14 lebih awal bagi memastikan calon berkenaan benar-benar diterima dan diyakini rakyat.
Jelasnya, langkah itu merupakan perincian yang dihasilkan menerusi post-mortem Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar yang berlangsung pada Jun lepas.
Tambahnya, strategi yang diguna pakai semasa PRK berkenaan juga akan ditambah baik untuk diguna kembali bagi menawan Selangor pada PRU14 akan datang.
Mengikut pecahan, PAS kini memiliki 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP juga pada jumlah yang sama, PKR (13) manakala BN (12) dan Bebas (1).
#Armand #PRU #Selangor #UMNO
;