Perdana Menteri raikan MKT UMNO, ketua sayap di majlis berbuka puasa
Firdaus Azil
April 19, 2022 20:50 MYT
April 19, 2022 20:50 MYT
PUTRAJAYA: Hari ini tiba giliran Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan ketua-ketua sayap pergerakan parti untuk berbuka puasa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Seri Perdana.
Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO itu dilihat tiba di perkarangan Laman Sari, Kompleks Seri Perdana kira-kira pukul 6.30 petang tadi.
Antara tetamu kehormat yang kelihatan ialah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan; dua lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan; dan Ketua Penerangan parti, Shahril Hamdan.
Turut hadir ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, serta pengerusi-pengerusi badan perhubungan UMNO negeri yang lain.
Majlis berbuka puasa itu turut diserikan dengan kehadiran golongan anak yatim dari Rumah Anak Yatim Raudhatul Faeez.
Selesai berbuka puasa, kesemua hadirin sempat menunaikan solat maghrib, isya, dan solat sunat tarawih di ruang yang disediakan.