Perbuatan sangat tidak profesional, tidak sopan - Tian Chua

Sinar Harian
Januari 9, 2023 12:18 MYT
Tian Chua berkata, sepanjang perjalanan perjuangan dengan parti itu, beliau tidak pernah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip atau objektif politik parti. - Foto fail/Astro AWANI
SHAH ALAM: Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua menyifatkan tindakan mengumumkan pemecatan beliau dan empat lagi ahli parti itu kepada media terlebih dahulu sebagai tidak profesional dan sopan.
Tian Chua dalam kenyataannya di Facebook berkata, beliau amat kesal dengan tindakan yang dilakukan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datin Dr Tan Yee Kew.
“Pengerusi Jawatankuasa Disiplin telah memilih untuk mengumumkan pemecatan saya kepada media sebelum menghantar sebarang pemberitahuan kepada saya dan individu-individu lain yang berkenaan.
"Perbuatan yang sangat tidak profesional ini amat dikesali dan tidak sopan,” katanya pada Isnin.
Pada Ahad, PKR secara rasmi memecat Tian Chua ekoran tindakan pemimpin itu bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
BACA: PKR secara rasmi pecat Tian Chua - Laporan
Perkara itu disahkan Yee Kew ketika dihubungi Sinar Harian.
Tian Chua berkata, sebagai aktivis PKR yang menyaksikan kelahiran gerakan dan terlibat berterusan dalam perjuangan selama lebih dua dekad, sudah tentunya beliau sedih dan kecewa dengan keputusan tersebut.
Katanya, sepanjang perjalanan perjuangan dengan parti itu, beliau tidak pernah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip atau objektif politik parti.
“Hati nurani saya bersih. Sejak awal lagi saya bersedia menerima akibat bertanding dalam pilihan raya tanpa restu pucuk pimpinan parti. Saya akur bahawa parti perlu menjaga disiplin organisasi.
“Walau demikian dalam konteks senario pasca-PRU15, pihak-pihak yang berlawan telah mengetepikan permusuhan semasa pilihan raya.
"Bahkan musuh lama termasuk mereka yang didakwa pengkhianat telah berdamai dan berikrar untuk bekerjasama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.
Tambahnya, tanpa mempertikaikan kuasa kepemimpinan, tindakan keras menerapkan peraturan adalah bertentangan dengan arus rekonsiliasi dan keterangkuman dalam suasana politik ketika ini.
Tian Chua menegaskan bahawa beliau mengambil tanggungjawab atas semua tindakan yang dikenakan tanpa menyalahkan mana-mana pihak.
“Saya menyertai perjuangan Reformasi sejak tahun 1998 hanya dengan tujuan membawa perubahan demokrasi kepada tanah air. Hari ini saya bangga melihat usaha bertahun-tahun tidak sia-sia.
“Saya sedikit pun tidak menyesali setiap minit yang ditabur dalam perjuangan ini. Masih banyak lagi cabaran di hadapan kita,” katanya.
Beliau turut berjanji kepada para penyokong untuk tidak akan memperlahankan langkah kegiatan untuk melakukan pembaharuan.
“Saya tidak akan undur daripada berjuang untuk membela hak dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya. -Sinar Harian
#Tian Chua #PKR #Tan Yee Kew #tidak profesional
;