Perbaiki kelompangan Akta Antilompat Parti, elak rakyat benci dan muak - Akmal

Sinar Harian
Julai 13, 2024 15:16 MYT
Dr Muhamad Akmal (tengah) ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pendang di Dewan Cenderawasin, petang Jumaat. - Foto Sinar Harian
PENDANG: Kelompangan dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) atau Akta Antilompat Parti perlu diperbaiki bagi mengelak rakyat benci dan muak dengan tindakan wakil rakyat yang melompat parti.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan terbuka untuk membaiki kelompangan yang wujud dalam akta itu.
"Kita nampak mungkin ada kelompangan yang boleh kita perbaiki, sudah tentu saya menyambut baik apa yang Perdana Menteri nyatakan.
"Jadi, sebab apa yang kita inginkan pada masa akan datang ialah masa depan negara ini, masa depan yang kita inginkan lebih stabil sebab kita tidak mahu esok rakyat benci dan muak dengan ahli politik," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pendang di Dewan Cenderawasih di sini, petang Jumaat.
Dr Muhamad Akmal berpandangan, ketidakstabilan politik dan masa depan negara menjadi tanda tanya apabila rakyat mula muak dengan ahli politik.
"Bila rakyat benci dan muak dengan ahli politik,maka akhirnya esok apa nak jadi dengan negara kita. Jadi hari ini kita sebagai orang politik kita tahu ada kelemahan maka kita kena perbaiki," katanya.
Dalam perkembangan sama, Dr Muhamad Akmal menyatakan, beliau juga tidak pernah setuju dengan mana-mana pihak yang melompat.
Tambah beliau, rakyat telah melalui pengalaman bertukar perdana menteri banyak kali sebelum ini, yang mana negara tidak boleh dibangunkan dengan baik dan ekonomi teruk hingga menyebabkan mereka merana.
"Ini prinsip di bawah UMNO dari dahulu lagi, jikalau orang UMNO melompat kita marah, jikalau orang Bersatu melompat pun kita marah (dan) jikalau orang Pakatan Harapan (PH) melompat pun kita marah (kerana) ini prinsip kita.
"Ini bukan soal parti, ini soal bagaimana hendak stabilkan kerajaan yang ada, sebab itu persoalan saya jikalau hari ini kita benarkan enam orang melompat, jadi jikalau ada orang lain melompat selepas ini (maka) adakah kita akan benarkan," katanya.
Beliau melahirkan kebimbangan sekiranya perkara terbabit dibenarkan, maka kestabilan politik. akan berlaku.
"Mungkin selepas ini, (lompat parti) akan berlaku di Perak, di Pahang dan di Negeri Sembilan, mungkin akan berlaku juga di negeri-negeri yang lain. Jadi, akhirnya rakyat terpaksa menanggung kecuaian kita, kesalahan daripada orang politik kita.
"Saya orang yang berpendirian, kalau kita rasa salah, tetap salah, betul, tetap betul," katanya.
Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dilaporkan berkata bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi enam bekas wakil rakyat Bersatu yang menyokong Perdana Menteri.
Enam Ahli Parlimen itu termasuklah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Bagaimanapun, Anwar pada Jumaat dilaporkan berkata, kerajaan terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi membaiki kelompangan yang wujud dalam Akta Antilompat Parti.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#Akta Antilompat Parti #Muhamad Akmal Saleh #elak rakyat benci dan muak #wakil rakyat melompat parti
;