Peratusan keluar mengundi pemilih muda tidak seperti yang diharap

Sinar Harian
Mac 21, 2022 15:27 MYT
Walaupun buat pertama kalinya pengundi muda yang berusia 18 hingga 20 tahun dibenarkan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu tetapi kadar peratusan keluar mengundi terutama bagi pemilih muda tidak seperti yang diharapkan.
SHAH ALAM: Walaupun buat pertama kalinya pengundi muda yang berusia 18 hingga 20 tahun dibenarkan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu tetapi kadar peratusan keluar mengundi terutama bagi pemilih muda tidak seperti yang diharapkan.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, daripada 54.92 peratus keseluruhan yang keluar mengundi yang direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi muda dianggarkan hanya di bawah lima peratus.
Menurut beliau, jumlah itu sangat kecil daripada jumlah keseluruhan 173,177 jumlah pengundi muda yang didaftarkan di negeri berkenaan walaupun pada peringkat awal diuar-uarkan bahawa ramai yang berkobar-kobar untuk keluar mengundi.
"Antara faktor keadaan ini berlaku mungkin disebabkan rasa protes anak muda terhadap keadaan politik negara dan mereka beranggapan kalau mereka sokong mana-mana parti pun keadaan negara tetap sama.
"Mereka berfikiran begitu mungkin dipengaruhi oleh interaksi dengan orang tua mereka dan orang sekeliling. Kalau mereka dpaat informasi yang tidak menarik sebegitu, sudah pasti mereka fikir buang masa sahaja keluar mengundi," katanya kepada Sinar Harian.
Sivamurugan menegaskan, anak muda yang berusia 18 hingga 20 tahun sudah matang untuk berfikir dan disebabkan itu mereka juga mengambil pendirian politik sendiri yang dipengaruhi banyak faktor di sekeliling mereka.
Selain itu, ujar beliau, anak muda juga dipengaruhi ibu bapa dan rakan sebaya yang mana jika kedua-dua golongan itu tidak keluar mengundi, mereka juga tidak akan keluar mengundi.
"Pada peringkat awal dijangkakan rakan sebaya akan memainkan peranan untuk pengundi 18 ini keluar mengundi sama seperti kalau rakan minat Korea Pop (K-Pop), rakannya pun akan minat, tetapi dalam PRN Johor, situasi itu tidak berlaku.
"Selain itu informasi yang sampai kepada golongan pengundi 18 ini juga mempengaruhi mereka. Mungkin mereka merasakan manifesto yang diketengahkan mana-mana parti tidak memenuhi kemahuan dan keperluan mereka seolah-olah pihak berwajib tidak membaca pemikiran mereka," jelasnya.
Sivamurugan menambah, berkemungkinan juga calon yang dipilih parti di sesuatu kawasan tidak memenuhi kemahuan orang muda seperti mereka tidak nampak calon itu sebagai seseorang yang boleh diteladani dan dijadikan contoh di mana ia mungki disebabkan pengaruh perang psikologi, keluarga, kawan dan sebagainya.
Katanya, terdapat juga kemungkinan golongan muda tidak mengetahui mereka telah didaftarkan secara automatik sebagai pemilih menyebabkan mereka tidak turun membuang undi pada hari pengundian.
Justeru itu bagi menangani keadaan itu, Sivamurugan menyarankan kesedaran politik perlu diwujudkan dalam kalangan rakyat seawal usia 13 tahun supaya mereka mengambil bahagian dalam pilihan raya dengan turun mengundi demi proses pembangunan negara bangsa.
"Kewajipan keluar mengundi bukan untuk menyokong mana-mana parti atau menyokong mana-mana ideologi tetapi mereka perlu tahu hak dan tanggungjawab mereka bagi membolehkan negara maju ke hadapan. Literasi dan celik politik ini sangat penting selepas pasca PRN Johor ini," katanya lagi.
Dalam pada itu ketika ditanya tentang pola pengundian antara pengundi muda Melayu dengan bukan Melayu, Sivamurugan menjelaskan, protes dalam kalangan pengundi Melayu lebih rendah berbanding pengundi muda bukan Melayu.
"Pandangan politik antara pengundi muda Melayu dan bukan Melayu juga berbeza dan semuanya bergantung kepada percaturan politik parti yang disokong ibu bapa mereka yang seterusnya memberi kesan kepada ibu bapa sama ada mahu keluar mengundi atau tidak.
"Secara umumnya, pengundi kaum lain juga akan mengikut ibu bapa mereka. Kalau ibu bapa mereka keluar mengundi, mereka ikut sama. Namun dalam keadaan kelesuan politik ketika ini, rata-rata pengundi bukan Melayu mungkin buat keputusan untuk tak sokong mana-mana parti pun dan mereka mempengaruhi anak-anak mereka," ujar beliau.
Artikel asal di Sinar Harian boleh dibaca di sini
#Undi18 #PRN Johor #pengundi muda #Suruhanjaya Pilihan Raya
;