Peranan wanita MCA semakin penting dalam situasi politik semasa

Bernama
Oktober 21, 2023 19:03 MYT
Wong You Fong dalam ucapan dasarnya berkata Wanita MCA sedang menghadapi fenomena penuaan dan kerana itu terdapat keperluan mendesak untuk merekrut ahli baharu. - Bernama
KUALA LUMPUR: Peranan Wanita MCA dalam situasi politik semasa di Malaysia semakin serius dan penting berbanding sebelum ini, kata Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon.
Beliau berkata dalam tempoh lima tahun ke belakangan ini, Jawatankuasa Pusat Wanita MCA yang dilantik tetap berjuang bersama parti dalam menghadapi pilihan raya kecil, pilihan raya negeri dan pilihan raya umum ke-15, sambil mempertahankan hak wanita dan mengisytiharkan kesaksamaan gender.
"Parti kita telah diletakkan dalam situasi yang sangat sukar selama lebih 10 tahun dan memerlukan banyak keberanian dan ketabahan untuk sanggup menjawat jawatan kepimpinan dalam parti kita ketika ini," katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-48 Wanita MCA di sini hari ini.
Chong berkata Jawatankuasa Pusat Wanita MCA yang baharu perlu membantu parti itu mendapatkan semula sokongan pengundi Cina dan kembali ke arena politik arus perdana dalam memperjuangkan layanan adil dan saksama terhadap rakyat Malaysia.
"Ini sememangnya satu tugas yang sangat berat dan saya berharap jawatankuasa pusat Wanita MCA yang baharu akan menetapkan matlamat ini sebagai tugas keutamaan dalam beberapa tahun akan datang...harapan saya Wanita MCA akan meneruskan semangat juang pendahulu anda," katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita MCA Wong You Fong dalam ucapan dasarnya berkata Wanita MCA sedang menghadapi fenomena penuaan dan kerana itu terdapat keperluan mendesak untuk merekrut ahli baharu dalam kalangan generasi muda secara lebih agresif.
"Saya akan mengetuai Wanita MCA untuk melibatkan diri sepenuhnya dalam melaksanakan tiga rancangan utama antaranya mewujudkan kumpulan bakat untuk Wanita MCA dengan mengenal pasti, melatih serta menguji bakat berkenaan sepanjang masa.
"Ini bagi memastikan mereka menjadi kuasa baharu MCA, menjadi calon atau penggubal strategi dan sebagainya serta membantu parti mengemukakan lebih 30 peratus calon wanita berwibawa pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," katanya.
Selain itu, Wong berkata Wanita MCA harus memperhebatkan penggunaan media sosial atau Internet dan perlu sentiasa mencari pembaharuan dan transformasi yang lebih rapi untuk menghadapi PRU.
"Pakatan Harapan dilihat fokus pada Facebook manakala Perikatan Nasiona fokus pada TikTok. Maka Barisan Nasional tidak boleh tumpu dengan lawatan ke rumah atau Jalinan Rakyat (JR) atau JR Plus sahaja dan kaedah publisiti mestilah seiring dengan peredaran zaman," katanya.
Wong turut mencadangkan agar kerajaan menubuhkan 'Pusat Perundingan Sehenti Perusahaan Kecil dan Sederhana' yang menyediakan perkhidmatan khusus untuk wanita bagi menyokong keusahawanan dan penggajian wanita.
AGM Wanita MCA ke-48 dan AGM Pemuda MCA ke-59 diadakan hari ini diikuti AGM MCA ke-70 yang akan berlangsung secara fizikal esok, selepas AGM parti dan sayap parti itu diadakan secara tertutup tahun lepas bagi membolehkan parti membuat penilaian kendiri dan membincangkan haja tuju masa depan susulan PRU15.
-- BERNAMA
#MCA #politik #Chong Sin Woon #wanita mca #Wong You Fong
;