Peralihan jawatan MB Selangor dari kesinambungan Langkah Kajang - Anwar
Astro Awani
Julai 27, 2014 19:03 MYT
Julai 27, 2014 19:03 MYT
Peralihan jawatan Menteri Besar Selangor adalah kesinambungan Langkah Kajang yang diputuskan secara muktamad oleh pimpinan KEADILAN sejak 15 Januari lepas.
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri telah dimaklumkan semenjak Mac 2014 dan nama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah dikemukakan secara rasmi kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) pada minggu lalu.
Jelasnya, semangat muafakat dalam PR akan terus dikekalkan dan seterusnya mendukung perubahan dengan menjana pertumbuhan ekonomi mampan yang lebih prihatin akan permasalahan rakyat.
Sebelum ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap kenyataan Presiden partinya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bertegas mahukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor.
Nik Abdul Aziz berkata, beliau hairan kenapa Abdul Khalid mahu digugurkan sedangkan Menteri Besar Selangor itu menunjukkan prestasi yang baik sebelum ini.
Pada Jumaat, pengumuman Anwar yang menamakan Wan Azizah sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu menggantikan Abdul Khalid tidak mendapat galakan daripada komponen PR lain iaitu PAS dan DAP.
Ia disifatkan keputusan pasca mesyuarat Majlis Presiden PR yang bermesyuarat pada Khamis sekadar menghormati pengumuman PKR dan pada masa sama masing-masing mengambil keputusan membincangkan hal tersebut di peringkat parti.