Perak, Perlis akan mohon perkenan Sultan, Raja bubar DUN
Bernama
Oktober 10, 2022 06:00 MYT
Oktober 10, 2022 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Hanya Perlis dan Perak yang ditadbir Barisan Nasional (BN) setakat ini, akan memohon perkenan Sultan dan Raja di negeri masing-masing, untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka selaras pembubaran Parlimen yang berkuat kuasa Isnin.
Sementara negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang serta Kedah, Terengganu dan Kelantan di bawah kerajaan PAS, menetapkan tidak membubarkan DUN masing-masing.
Bagi negeri yang melaksanakan pilihan raya negeri (PRN) antara tempoh September 2020 hingga November lepas iaitu Sabah (26 Sept 2020), Melaka (22 Nov 2021), Sarawak (18 Dis 2021) dan Johor (12 Mac 2022) juga tidak berhasrat membubarkan DUN mereka.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini, mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan DUN masing-masing pada tarikh yang sama dengan pembubaran Parlimen.
Susulan itu di PERAK, Menteri Besarnya Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beliau akan memohon perkenan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, berhubung pembubaran DUN dalam masa terdekat.
"Tarikh pembubaran DUN bergantung kepada limpah perkenan Sultan Perak," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama, pada Isnin.
Di PERLIS, Menteri Besarnya Datuk Seri Azlan Man memaklumkan DUN Perlis akan dibubarkan setelah mendapat perkenan daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan tarikh menghadap Baginda akan dimaklumkan kelak.
Terdahulu di ibu negara, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Perhimpunan Agung MIC Ke-76 hari ini mengesahkan DUN Perak, Perlis dan Pahang akan dibubarkan, sementara DUN Melaka, Johor dan Sabah tidak akan dibubarkan, kerana tidak mencapai tempoh matang.
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan sebelum ini juga mengulangi pendirian parti bahawa DUN Kedah, Terengganu dan Kelantan, tidak dibubarkan dalam tempoh terdekat, sebaliknya kerajaan negeri masing-masing menumpukan usaha persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka melanda pertengahan November hingga Mac 2023.
Di KELANTAN, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata setakat ini kerajaan negeri tidak akan membubarkan DUN mereka, walaupun Parlimen telah dibubarkan dan dijangka pembubaran DUN paling awal adalah Mac depan.
Yang Dipertua DUN Terengganu Datuk Yahaya Ali pula menegaskan, kerajaan negeri itu tidak membubarkan DUN mereka sebaliknya akan memfokuskan kepada persiapan menghadapi risiko banjir dan pemulihan COVID-19.
Turut tidak membubarkan DUN, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata Dewan Undangan Negeri itu tidak perlu kerana kerajaan Sabah masa ini di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN masih mempunyai tempoh tiga tahun lagi sebelum tempoh mereka tamat.
Sementara itu, pada 5 Okt lepas Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Majlis Presiden PH menetapkan DUN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, hanya akan dibubarkan tahun hadapan iaitu pada satu tarikh yang akan diumum kelak.
Di NEGERI SEMBILAN, Menteri Besarnya Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri mengekalkan keputusan Majlis Presiden PH sebelum ini, untuk tidak membubarkan DUN meskipun kerajaan Persekutuan membubarkan Parlimen pada Isnin.
Sementara itu, di KEDAH, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri masih kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan DUN Kedah selaras dengan pembubaran Parlimen semalam.
"Parti dah buat keputusan dan jika ada perubahan juga parti akan putuskan," katanya ringkas kepada pemberita pada Isnin.
Di SELANGOR, Speaker DUN Ng Suee Lim berkata setakat ini tidak ada perubahan berhubung pendirian kerajaan negeri itu untuk tidak membubarkan DUN Selangor, susulan pengumuman pembubaran Parlimen yang berkuatkuasa semalam.
"Kita kekal dengan tidak akan melakukan pembubaran DUN seperti apa yang ditekankan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini. Dan kita akan lawan di Parlimen," katanya.
-- BERNAMA