Perak bentang RUU larang ADUN lompat parti

Amirrul Rabbani
Disember 28, 2022 19:09 MYT
Usul RUU tersebut dikemukakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk bacaan kali pertama dan kedua. - Gambar/ Bernama
IPOH: Perak membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Tubuh Kerajaan Negeri (Pindaan) 2022 bagi membolehkan Enakmen Antilompat Parti dilaksanakan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini pada Rabu.
Usul RUU tersebut dikemukakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk bacaan kali pertama dan kedua yang kemudiannya disokong oleh Azman Noh (BN-Pengkalan Baharu).
Saarani berkata pindaan berkenaan adalah bagi tujuan melarang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk bertukar parti yang selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, ia dilaksanakan selaras dengan peruntukan Seksyen 7A, Jadual Kelapan, Perlembagaan Persekutuan yang telah dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan)(3) 2022.
Tambah beliau, RUU Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama)(Pindaan) 2022 berkenaan mempunyai lima Fasal.
“Fasal empat bertujuan untuk memasukkan Perkara baharu ‘32A’ ke dalam Enakmen ibu untuk memperuntukkan bahawa seseorang ahli Dewan Negeri hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang Dipertua di bawah Fasal (3) Perkara baharu ‘32A’.
"Jika setelah dipilih ke Dewan Negeri sebagai anggota suatu parti politik, dia melepaskan keanggotaan atau tidak lagi menjadi anggota parti politik itu.
“Perkara yang sama juga terpakai bagi calon bebas yang, setelah dipilih ke Dewan Negeri, menyertai suatu parti politik sebagai anggota,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Enakmen Rang Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2022 di sini pada Rabu.
Tambah Saarani kemasukan Perkara baharu 32A itu juga memperuntukkan keadaan apabila seseorang wakil rakyat itu tidak terhenti menjadi ADUN disebabkan berlaku pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya.
Katanya, peruntukan itu juga terpakai jika seseorang ADUN melepaskan keanggotaannya daripada parti politik apabila dipilih sebagai Yang Dipertua atau dipecat daripada keanggotaan dalam parti politiknya.
"Berkenaan kekosongan luar jangka di kerusi DUN pula, berdasarkan pindaan, ia hendaklah dipastikan Yang Dipertua apabila menerima pemberitahuan bertulis daripada mana-mana ADUN berkenaan hal itu.
"Seterusnya Yang Dipertua hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang kekosongan itu dalam tempoh 21 hari dari tarikh pemberitahuan bertulis itu.
"Selaras dengan Fasal (5) Perkara 36 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, SPR hendaklah menjalankan suatu pilihan raya dalam tempoh 60 hari dari tarikh menerima pemberitahuan berkenaan kekosongan luar jangka itu daripada Yang Dipertua," katanya.
RUU berkenaan dijadual akan dibahaskan oleh ADUN kerajaan dan pembangkang pada Khamis sebelum diluluskan.
Di peringkat Persekutuan, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkenaan peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti berkuat kuasa bermula Oktober lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos.
Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Perak menyaksikan pembentukan kerajaan hasil kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) yang masing-masing memenangi 24 dan sembilan kerusi, sementara Perikatan Nasional (PN) memperoleh 26 kerusi daripada kesemua 59 kerusi DUN Perak.
#Perak #RUU Antilompat Parti #sidang dun #Saarani Mohamad
;