Penyokong Proklamasi Orang Melayu perlu undi calon PN - Dr Mahathir

Astro Awani
Julai 25, 2023 06:00 MYT
Dr Mahathir menasihatkan agar rasa tidak puashati terhadap mana-mana calon PN diketepikan sebaliknya memastikan gabungan itu mencapai kemenangan. - Gambar fail
SHAH ALAM: Pengerusi Proklamasi Orang Melayu, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru agar sokongan diberikan kepada semua calon Perikatan Nasional (PN) pada enam pilihan raya negeri 12 Ogos ini.
Dr Mahathir menegaskan, hanya dengan sokongan tidak berbelah bahagi sahaja mampu memenangkan calon-calon PN pada PRN nanti.
Beliau juga menasihatkan agar rasa tidak puashati terhadap mana-mana calon PN diketepikan sebaliknya memastikan gabungan itu mencapai kemenangan.
"Dalam pilihan raya negeri ini kita perlu ketepikan pasal parti kerana ini adalah masalah orang Melayu, tidak guna parti menang tetapi orang Melayu kalah.
"Sebab itu kita mesti tentukan calon ini disokong, sama ada kita suka atau tidak suka calon yang dipilih itu.
"Pada PRN ini, Proklamasi Orang Melayu tidak boleh bertanding kerana kita tidak didaftar, jadi sebab itu kita akan guna Perikatan Nasional," katanya pada sesi Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan untuk Rakyat Malaysia di Dewan i-City Convention Centre, i-City Central Walk pada Selasa.
Pada program itu juga Dr Mahathir sekali lagi mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering menuduh beliau tetapi enggan mendedahkan bukti apabila diminta.
Beliau menegaskan, Ahli Parlimen Tambun itu perlu menunjukkan bukti-bukti kukuh dan bawa pada perbicaraan di mahkamah sekiranya ingin mendakwa beliau mencuri wang atau harta daripada rakyat.
"Dia kata dia ada bukti berkotak-kotak, tulisan-tulisan bukti pun ada. (Anwar kata) akan tunjuk tetapi bila saya minta tunjuk dia kata tidak boleh, rahsia.
"Kalau awak ada (bukti) tunjuk la pada saya. Tunjuk (bukti) saya curi duit sebab kita tahu ada orang curi duit, dihadap ke mahkamah, dibicara dan dimasukkan di dalam penjara.
"Kalau saya curi duit, tunjuk (bukti) secara terang yang saya curi duit, boleh bawa saya pergi mahkamah adakan perbicaraan," katanya.
#Mahathir Mohamad #Proklamasi Orang Melayu #PRN #Perikatan Nasional
;