Penyokong Anwar diminta bersabar, tiada masalah dokumentasi
Nursyazwani Saiful Sham
Mei 14, 2018 04:59 MYT
Mei 14, 2018 04:59 MYT
Penyokong Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di seluruh negara diharap bersabar susulan penundaan pembebasan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Jabatan Perdana Menteri memerlukan lebih masa untuk membuat beberapa penelitian.
“Tiada masalah dokumentasi yang menyebabkan penundaan itu berlaku. Ini (penundaan) dianggap normal kerana Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memerlukan lebih masa untuk membuat penelitian.
“Bagaimanapun, saya optimis akan kebebasan Anwar Ibrahim yang akan berlangsung Rabu ini,” katanya ketika ditemui selepas melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras, di sini pada Isnin.
Tambahnya, Angkatan Muda Pakatan Harapan (PH) akan menyusun program sejurus selepas Anwar dibebaskan.
“Kami akan mobilisasikan rakyat untuk menyambut kebebasan Anwar Ibrahim dan saya telah berbincang dengan beliau untuk berucap pada majlis itu nanti,” ujarnya.
Sementara itu, peguam Anwar, R. Sivarasa mengesahkan bahawa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad ke V akan bermesyuarat pada 11 pagi Rabu.
#Anwar Ibrahim
#Datuk Saifuddin Nasution Ismail
#Jabatan Perdana Menteri
#Pakatan Harapan
#PKR
#Setiausaha Agung PKR
#Yang di-Pertuan Agong