Penyeru 'pengundi malaikat' antara yang tidak dicalonkan Pas Kelantan

Vivi Sumanti
April 26, 2018 06:05 MYT
Perkara itu diumumkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam tadi.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Nor Azariza Mohd Alawi yang namanya terkenal selepas mengeluarkan kenyataan bahawa tidak mustahil 'malaikat' boleh membantu kemenangan Pas dengan turun mengundi antara yang tidak tercalon dalam senarai pengumuman calon Pas Kelantan malam tadi.
Selain beliau, penyandang kerusi Parlimen Kubang Kerian, Ahmad Baihaki Atiqullah dan penyandang kerusi DUN Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, turut tidak tersenarai.
Penyandang kerusi Parlimen Pasir Puteh, Nik Mazian Nik Mohamed turut digugurkan dan diganti dengan calon import Pas, iaitu Timbalan Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh yang akan berdepan dengan Timbalan Menteri Dijabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan Parti Peribumi Bersatu Malaysia, Datuk Kamaruddin Mohd Nor.
Pas Kelantan juga mengekalkan tiga calon muslimat, masing-masing Ketua Muslimat Pas Pusat, Siti Zailah Yusof bertanding di Parlimen Rantau Panjang, Mumtaz Nawi (DUN Demit) dan Rohani Ibrahim di (DUN Tanjong Mas), manakala Wan Ubaidah Omar (Dun Kijang) digugurkan.
Dalam pengumuman calon Pas oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam tadi menyaksikan 21 orang muka baharu dipertaruhkan antaranya, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, yang akan bertanding di Parlimen Pasir Mas menentang calon UMNO, Nor Asmawi Ab Rahman, calon bebas, Datuk Ibrahim Ali serta calon dari Pakatan Harapan.
Selain beliau, Pas turut menampilkan Adenan Hassan untuk kerusi DUN Kelaboran, Zuraidin Abdullah (DUN Chetok), Saiful Adli Abu Bakar (DUN Salor), Wan Ismail Wan Jusoh di kerusi Parlimen Ketereh dan Datuk Dr Johari Mat (Parlimen Tanah Merah).
Namun apa yang menarik perhatian ialah perpindahan tempat anak bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Mohamed Abduh yang berpindah dari Parlimen Pasir Mas ke Parlimen Bachok.
Nik Mohamed Abduh sebelum ini dikhabarkaan oleh rakyat Pasir Mas bahawa beliau jarang bertandang ke parlimen beliau sehingga menimbulkan rasa kurang senang rakyat Pasir Mas.
Nik Mohamed Abduh dikatakan mengabaikan rakyatnya di Pasir Mas namun membuat kemunculan di Parlimen Bachok untuk membuat tawaran pilihan kepada rakyat Bachok.
#Abdul Hadi Awang #Malaysia Memilih #nik abduh #Nor Azariza Mohd Alawi #Pas Kelantan #Presiden Pas