Penyertaan Zahid dalam Majlis Presiden PN untuk pantau dasar kerajaan

Abd Razak Mohd Ali
Disember 26, 2020 16:54 MYT
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Ahmad Zahid kepada beliau.
PASIR SALAK: Kesediaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menganggotai Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) adalah bertujuan untuk memantau dasar yang dibuat kerajaan.
Tegas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, ia bukanlah kerjasama politik antara parti, sebaliknya untuk memastikan dasar yang dilaksanakan itu menguntungkan rakyat dan tidak menjadi pertikaian.
Menurutnya, secara tidak langsung UMNO juga terlibat di dalam pembuatan dasar kerana wakil rakyat parti itu turut menganggotai kerajaan PN.
"Suka atau tidak suka, wakil-wakil rakyat UMNO duduk bersama dengan PN, kita tidak bekerjasama dari segi politik antara parti dengan parti tetapi dari segi kerajaan wakil rakyat kita yang juga wakil rakyat UMNO yang menyertai, menyokong Perikatan Nasional.
"Takkan nak biarkan kerajaan PN ni buat sesuka hati, rugilah kita. Jadi secara langsung tak langsung, kita ada kepentingan memantau dasar-dasar kerajaan PN yang ada hari ni sehinggalah tamat," katanya.
BACA: PN tubuhkan Majlis Presiden Perikatan Nasional
BACA: Ku Li 'malu' UMNO sertai Majlis Presiden PN
Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan persekolahan di bawah Program Sejambak Kasih anjuran Malaysia Dept Ventures Berhad (MDV) di Kampung Gajah, Perak, pada Sabtu yang turut dihadiri Pengerusi MDV, Khairul Azwan Harun.
Menurutnya, beliau sendiri telah mendapatkan penjelasan daripada Ahmad Zahid mengenai pembentukan Majlis Presiden itu.
Pada Khamis, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa ‘malu’ dengan keputusan ‘aneh’ Ahmad Zahid untuk menyertai Majlis Presiden PN kerana parti itu bukanlah ahli PN.
Beliau berkata, semua pihak tidak boleh menyamakan Barisan Nasional (BN) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana Bersatu wujud dari hasil ‘mencuri’ orang UMNO.
#Zahid Hamidi #Majlis Presiden PN #Majlis Presiden Perikatan Nasional #UMNO #Bersatu #Barisan Nasional
;