Penyatuan sesama parti pembangkang perlu hadapi PRU14 - Saifuddin
Hafiz Marzukhi, Nuradilla Noorazam
November 12, 2016 10:16 MYT
November 12, 2016 10:16 MYT
Konvensyen Pakatan Harapan yang pertama membuka tirai hari ini dengan mesej penyatuan sesama parti pembangkang.
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan kepentingan bekerjasama bukan sahaja antara parti dalam Pakatan Harapan tetapi juga dengan parti pembangkang yang lain.
"Kita tidak mahu untuk menjadi pembangkang sahaja.
"Oleh itu, kita harus bekerjasama bagi memastikan kita bersiap sedia untuk menang dalam Pilihan Raya ke-14 nanti," kata Saifuddin dalam ucapan pembukaannya di Konvensyen Pakatan Harapan yang julung kali diadakan di IDEAL Convention Centre (IDCC) di sini, hari ini.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara Datuk Salahuddin Ayub berkata parti-parti politik yang bernaung di bawah payung Pakatan Harapan haruslah belajar dari kesilapan yang dahulu dan tidak mengulanginya bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
"Saya terlalu faham bagaimana Pakatan Harapan pernah lumpuh. Tidak perlulah saya hurai di sini.
"Janganlah kita mengulangi kesilapan itu. Pakatan mempunyai kesepakatan politik yang kuat dan harus dikekalkan," katanya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut berkata Pakatan harus sedar bahawa rakyat adalah penentu kemenangan mereka dan bukannya gerak hati atau ego sesetengah pemimpin.
"Kalau kita ikutkan ego, kita akan tumpas dan tewas.
"Bersedialah untuk merendahkan martabat bagi memenangi hati rakyat dengan menjadi lebih inklusif. Kita harus menjadi pendengar yang baik," katanya.
Sementara itu, Naib Pengerusi DAP M. Kulasegaran turut mengakui kepentingan kerjasama antara parti-parti pembangkang.
"Kita mahu satu lawan satu. Memang sukar.
"Namun, saya percaya kali ini berbeza. Kita bukan sahaja ada bekas Timbalan Perdana Menteri, bekas Perdana Menteri pun kita ada!" kata Kulasegaran.