Penurunan harga rumah Felda diumumkan pada PRK Rompin satu kebetulan - Razali
Haider Yutim
Mei 3, 2015 19:09 MYT
Mei 3, 2015 19:09 MYT
Datuk Razali Ibrahim hari ini menafikan dakwaan pembangkang bahawa penurunan harga rumah bagi projek Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF) adalah bagi meraih undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, perkara ini telah pun dibincangkan lebih awal lagi dengan pihak pengurusan Felda dan pengumumannya pada waktu PRK Rompin ini merupakan satu kebetulan.
“Kita sudah bincang sejak dahulu lagi, bukan pasal pilihan raya. Banyak pertemuan telah dibuat daripada Majis Belia Felda dan mereka sendiri telah menghantar memorandum kepad Felda untuk mempertimbangkan harga yang bakal dikemukakan,” kata Razali pada ucapan perasmian majlis pecah tanah PGBF di Keratong, Rompin.
Katanya, pihak kerajaan sudah lali dengan tuduhan yang dibuat pihak pembangkang kerana bagi mereka (pembangkang) semuanya serba tak kena.
“(Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak pegang bayi pun mereka katakan ianya dibuat-buat.
“Malah, Najib turun makan bersama para peneroka di kedai-kedai makan pun mereka kata gimik politik,” kata Ahli Parlimen Muar (BN) itu lagi.
Menurut beliau, cuma kebetulan harga baru itu diumumkan pada waktu PRK Rompin ini dan suka atau tidak, harga baru itu perlu diputuskan juga suatu hari nanti.
Terdahulu, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya pada Ahad mendakwa bahawa Najib tidak akan mengumumkan penurunan harga tersebut tanpa PRK Rompin.
Katanya, pengumuman itu dibuat kerana Barisan Nasional (BN) bimbang dengan kebangkitan generasi kedua dan ketiga Felda dalam PRK itu kali ini.
Najib dalam kenyataannya semalam, telah mengarahkan supaya harga rumah-rumah PGBF terutama di Parlimen Rompin, diturunkan.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas menyelami keluh kesah generasi baru serta permintaan agar harga rumah tersebut dikaji semula.
Menurut Najib, beliau telah mengarahkan Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada untuk menawarkan harga baru rumah-rumah tersebut pada harga RM90,000 untuk pembelian secara jual-beli.