Penubuhan parti Bersatu bertujuan meraih undi protes penyokong UMNO - Merdeka Centre
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 11, 2016 07:50 MYT
Ogos 11, 2016 07:50 MYT
Penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertujuan meraih undi protes dalam kalangan penyokong UMNO.
Merdeka Centre berpandangan, parti serpihan UMNO itu juga bakal menjadi platform khusus bagi menentang UMNO pada pilihan raya umum akan datang.
Pengarahnya, Ibrahim Suffian berkata undi protes itu lahir daripada rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong UMNO terhadap hala tuju parti itu
"Tujuannya adalah untuk mengumpul undi protes, untuk menawarkan calon-calon dan juga idea-idea alternatif. Saya rasa tumpuannya adalah khusus ditujukan kepada penyokong-penyokong UMNO sedia ada yang mungkin bersikap tidak puas hati dengan hala tuju UMNO.
"Ia secara khusus bertujuan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Bagaimanapun, untuk masa hadapan, itu kita tidak tahu di mana, mungkin ia dapat bertahan pada masa akan datang dan itu tak pasti," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Beliau pada masa sama percaya, Bersatu merupakan parti yang akan menawarkan sesuatu yang berbeza, berbanding parti pembangkang yang lain.
"Ini adalah sebuah parti yang ada di sebelah kanan spektrum politik, jadi ia berbeza daripada parti pembangkang yang lain.
"Saya rasa jika dilihat daripada konteks keseluruhan politik, ia melengkapkan penawaran politik oleh pambangkang sekiranya mereka dapat bekerjasama," ujarnya.
Jelas beliau lagi, walaupun pembangunan bumiputera menjadi agenda utama parti Bersatu, ia bakal mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat.