Penubuhan DEIG cetus kebimbangan BN Selangor

Norsiah Mohd Ramli
Ogos 18, 2015 15:27 MYT
BUDIMAN: Penubuhan DEIG dilihat satu pembaziran dan tidak perlu didaftarkan di bawah Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). - Foto Facebook
Penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) oleh kerajaan negeri Selangor bagi menstruktur pelaburan 12 entiti yang berada di bawah Menteri Besar Incorporated (MBI) menimbulkan tanda tanya bagi Ahli Dewan Undangan (ADUN) Barisan Nasional (BN).
ADUN Sungai Panjang (BN), Budiman Mohd Zohdi berkata, penubuhan DEIG dilihat satu pembaziran dan tidak perlu didaftarkan di bawah Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Kalaulah isu sebenarnya adalah untuk menstruktur semula anak-anak syarikat, mengapa tidak anak-anak syarikat ini distruktur semula di bawah MBI itu sendiri, mengapa perlu tubuhkan sebuah entiti di bawah SSM," katanya di sini, hari ini.
Penubuhan DEIG baru-baru ini berfungsi sebagai peneraju pelaburan Selangor dan akan melaksanakan agenda yang diselia Jawatankuasa Pelaburan Darul Ehsan (DEIC) selaku badan penyelia.
DEIG juga dilaporkan mengharapkan pulangan pelaburan dari anak syarikat negeri melalui ekuiti dan pelaburan modal selain dijangka membuat pelaburan juga mengembangkan perniagaan untuk menyokong agenda Kerajaan Selangor bagi pembangunan sosial serta keadilan.
Bagaimanapun Budiman melahirkan rasa risaunya kerana terma pinjaman DEIG yang mengelirukan.
"Saya risau mengenai DEIG kerana ia boleh membuat pinjaman dan tidak perlu untuk melaporkan auditnya kepada pihak kerajaan negeri mahupun di Dewan Undangan Negeri.
"Semasa pemerintahan BN, MBI mempunyai aset yang banyak dan dikhuatiri jika aset-aset tersebut tidak digunakan dengan sempurna, ia sekali gus boleh menyebabkan kerugian dan akhirnya kerugian itu tertumpu kepada kerugian kerajaan negeri dan rakyat di negeri ini," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menjelaskan, DEIG pada ketika ini adalah milik sepenuhnya MBI walaupun didaftar di bawah Akta SSM.
Katanya yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, DEIG bertanggungjawab melaporkan auditnya kepada SSM dan akan menjadi maklumat awam.
"Sekiranya DEIG diletak di bawah MBI, kemungkinan perkara tidak dingini berlaku pada masa akan datang dan boleh memberi kesan langsung kepada kerajaan negeri," katanya.
Azmin turut bersetuju supaya DEIG diikat di bawah akta atau enakmen yang lebih kuat selain keperluan untuk mengemukakan laporan tahunan kepada SSM bagi pengetahuan awam.
#ADUN #Barisan Nasional #Budiman Mohd Zohdi #Darul Ehsan Investment Group #Selangor