Pentadbiran masih lancar, tiada keperluan mendesak untuk segerakan PRU15

Israr Khalid
November 24, 2021 23:40 MYT
Rakyat masih lagi bergelut untuk bangkit memulihkan kehidupan selepas dibadai pandemik. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tiada keperluan yang benar-benar mendesak supaya Pilihan Raya Umum (PRU) 15 disegerakan, memandangkan pentadbiran negara masih tenang dan lancar.
Bagi koordinator program UndiNegaraku, Diffan Sina Jasmi, selagi perjanjian persefahaman (MoU) kerajaan-pembangkang terus dihormati, kestabilan kerajaan dapat dikekalkan ketika rakyat masih memulih daripada dibadai pandemik COVID-19.
Selain daripada itu, katanya tiada masalah untuk semua menunggu sehingga penggal pentadbiran penuh tamat nanti untuk menyerahkan semula mandat kepada rakyat.
“Kalau kita tengok situasi politik negara kita sekarang ini di peringkat Persekutuan tak berlaku masalah pengurusan institusi kerajaan untuk berfungsi dengan baik.
“Walaupun sebelum ini pernah berlaku di zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri tapi ia dapat diselesaikan tanpa pembubaran Parlimen disebabkan ada kerjasama antara parti-parti politik ini.
“Apa yang kita lebih fokus sekarang ini adalah survival ekonomi rakyat.”
Baginya, cakap-cakap yang menggesa supaya PRU15 dipercepatkan itu mungkin gembar-gembur atau ‘hype’ parti politik itu sendiri yang melihat waktu ini sebagai detik terbaik untuk dimanfaatkan selepas menang besar di Melaka.
Apapun, adalah lebih wajar untuk menunggu sehingga penggal tamat sepenuhnya sementara rakyat boleh memperkuatkan langkah selepas bangkit daripada musibah pandemik.
Tonton temu bual penuh dalam Agenda AWANI dihoskan Essan Yahya, di sini:
Pentadbiran masih lancar, tiada keperluan desak segerakan PRU15
Agenda AWANI: Gesaan PRU15 disegerakan, apa reaksi anak muda?
#Agenda Awani #PRU15 #UndiNegaraku #Diffan Sina Jasmi