Peningkatan anggota wanita bukti penerimaan rakyat terhadap UMNO - Shahrizat

Bernama
Mei 10, 2017 07:02 MYT
Shahrizat berkata Wanita UMNO, yang muda setahun daripada usia UMNO, sedang mempersiapkan jentera bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang dijangka tahun ini. - Gambar fail
Mempunyai keanggotaan yang mencapai 1.39 juta atau 38 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota UMNO bukanlah tiket bagi Pergerakan Wanita untuk mendabik dada sebaliknya, angka itu membuktikan tahap kesetiaan mereka kepada parti.
Ketua pergerakan itu Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata bilangan keanggotaan yang meningkat saban tahun mewakili kesetiaan dan semangat sebenar sayap parti itu dalam membawa falsafah perjuangan UMNO.
"Ke mana-mana saya pergi, saya lihat penerimaan rakyat di peringkat akar umbi terhadap kerja-kerja Jalinan Rakyat, Skuad Sayang, Skuad An-Nur dan JUWITA yang dijalankan oleh Wanita UMNO amat positif sekali.
"Dalam pada kami menjalankan tugas-tugas ini, secara tidak langsung Wanita UMNO dikenali lebih rapat oleh masyarakat setempat. Apabila mereka mengenali Wanita UMNO dan memahami tujuan kami, mereka menjadi minat dengan UMNO dan mahu menyertainya untuk sama-sama menabur jasa dan bakti kepada yang memerlukan.
"Maka, tidak hairanlah jika keahlian wanita UMNO meningkat setiap tahun," katanya kepada Bernama sempena ulang tahun ke-71 parti itu yang akan disambut Khamis.
Shahrizat berkata Wanita UMNO, yang muda setahun daripada usia UMNO, sedang mempersiapkan jentera bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang dijangka tahun ini.
Beliau berkata sayap itu melalui Jalinan Rakyat (JR) telah turun padang untuk menjadi ''mata dan telinga'' rakyat bagi menyampaikan keperluan mereka kepada kerajaan.
Langkah terbaharu sayap parti itu adalah dengan menjemput semua pihak yang mahu membantu menjalankan tugas-tugas JR untuk bersama-sama menyertai Jalinan Rakyat Plus (JRPlus) yang dilancarkan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 April lepas.
"Saya nak maklumkan, jentera JR Wanita UMNO telah mula menjalankan tugas sehari selepas PRU-13 selesai. JR juga bertindak sebagai penyampai maklumat tentang polisi dan inisiatif kerajaan BN ke akar umbi supaya peluang yang ada dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
"InsyaAllah, dengan lebih 200,000 jentera JR ditambah dengan beratus ribu lagi JRPlus yang menjadi barisan hadapan untuk pilihan raya umum, Wanita UMNO yakin BN akan terus mendapat sokongan rakyat," katanya.
Mengenai perancangan pergerakan itu, Shahrizat berkata beliau mahu memastikan lebih ramai pemimpin ''neuroleader'' dapat dilahirkan dalam kalangan Wanita UMNO.
Katanya Wanita UMNO mahu mempunyai barisan pemimpin ''neuroleader'' yang sentiasa bekerjasama, berwawasan untuk membawa matlamat parti ke tahap yang lebih baik, tangkas membuat keputusan dan menjalankan tugas serta cekal dalam menghadapi cabaran selain menjadi tulang belakang dalam mendukung perjuangan parti.
"Sebagai ketua, impian saya juga adalah untuk membina ''Galaxy of Stars'' yang terdiri daripada ramai pemimpin Wanita.
"Selain itu, Wanita UMNO berhasrat untuk mengarusperdanakan isu-isu wanita Malaysia dalam semua bidang terutamanya dalam politik dan pentadbiran negara," katanya.
Dalam pada itu, Shahrizat berkata Wanita UMNO tidak ketinggalan dalam menggunakan media baharu untuk memantapkan lagi gerak kerja jentera sayap itu.
Awal tahun ini, Wanita UMNO memperkuatkan jentera penerangannya melalui Skuad Penerangan & Media (P&M) yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi mengoptimumkan penyampaian dan penyebaran maklumat terkini berkaitan isu semasa dan menangkis fitnah pembangkang melalui aplikasi telefon pintar.
"Maklum balas yang saya terima setakat ini amat positif, Skuad P&M berasa mudah untuk mendapatkan maklumat apabila sesuatu isu timbul dan penerangan dapat dilakukan dengan lebih pantas," katanya.
Mengulas mengenai calon-calon Wanita bagi menggalas cabaran PRU, Shahrizat menegaskan sayap itu bersedia pada tahap maksimum bagi menyahut cabaran berkenaan.
"Sudah pasti Wanita UMNO telah bersedia. Saya telah nyatakan sebelum ini, jika Wanita UMNO layak menjadi jentera terkuat untuk BN, maka Wanita UMNO juga layak menjadi calon yang boleh memenangkan BN.
"Lihat sahaja dalam Wanita UMNO, pemimpin dan ahlinya terdiri dari ramai golongan profesional, usahawan berjaya, ahli akademik serta pemimpin masyarakat yang disenangi di akar umbi.
"Saya dan biro politik Wanita UMNO juga telah menjelajah ke seluruh negara bertemu pemimpin wanita di hampir semua kawasan Parlimen, dan pilihan calon wanita yang berkelayakan amat-amat memberangsangkan," katanya.
-- BERNAMA
#Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil #UMNO #wanita
;